Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Selangor Usaha Pulih, Bersih Sungai – MB

By 26 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 26 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan Selangor berusaha memulih dan membersihkan sungai-sungai utama di negeri tersebut untuk mendapatkan sumber air mentahnya untuk diproses dan dirawat.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata beliau percaya usaha itu dapat dilaksanakan setelah langkah awal dilakukan seperti memerangkap sampah di Sungai Klang.

“Setiap hari kita berjaya memerangkap bertan-tan sampah dari Sungai Klang, ia satu langkah awal sebelum kita ke arah penjernihan serta pelaksanaan.

“Sekiranya Sungai Batu dan Sungai Klang bersih, kita dapat membina pelan-pelan di kawasan hulu. Sekarang ini dibina di kawasan tadahan yang belum tercemar seperti Sungai Selangor,” katanya.

Namun menurut Menteri Besar, usaha tersebut mengambil masa memandangkan langkah itu baru bermula 2015 di negeri Selangor.

“Ia ambil proses yang lama. Sungai Kalang di Singapura atau di Korea contohnya mengambil masa 10 tahun untuk dipulihkan, kita baru bermula 2015. Kita tengok selepas 10 tahun nanti.

“Ia bukan soal bagaimana kita bersihkan. Soal sikap rakyat terhadap sungai, (sekiranya) kita bersih setiap jam tetapi setiap saat rakyat buang sampah ke dalam sungai perkara itu tidak akan selesai,” ujar beliau.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, kerajaan Selangor juga mewujudkan Sahabat Sungai sebagai usaha melibatkan komuniti menjaga sumber air mereka.

“Sahabat Sungai akan ‘take care’ mengikut kawasan yang ditetapkan dan menjadi budaya atau aktiviti rutin secara mingguan atau bulanan.

“Mereka (Sahabat Sungai) perlu melihat kawasan sungai mereka. Kita akan beri anugerah-anugerah sekiranya mereka dapat meningkatkan status kelas sungai.

“Jika mereka berjaya naikkan kepada tahap dua kita akan beri insentif sebagai tanda penghargaan atas penglibatan komuniti mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Program Gotong Royong ‘Green Sungai Batu For All’ di Dataran Bougeinvillea, Kampung Sungai Kertas, di sini semalam.

Program gotong royong itu berlangsung selama.empat minggu sejak 25 Februari lalu, melibatkan komuniti tujuh kampung iaitu Kampung Sungai Tua, Kampung Sungai Kertas, Kampung Nakhoda, Kampung Laksamana, Indian Settlement Batu Caves, Kampung Baru Batu Caves dan Kampung Melayu Batu Caves Selatan.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya; Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim dan Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai (BPLS) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, Md Khairi Selamat.

-NAZ

Tinggalkan komen anda