
Laporan/foto: Abdul Waasiek Ahmad Fikri (Barat Daya)
BATU MAUNG, 13 Mac (Malaysiaaktif) – “Kerajaan melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) sentiasa komited dalam mentransformasikan industri perikanan negara bagi mencapai tiga objektif utama iaitu menjamin keselamatan bekalan makanan, menjadikan industri perikanan berdaya saing dan menjadikan ia sebagai satu perniagaan selain meningkatkan pendapatan kumpulan sasar”, kata Datuk Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di Institut Penyelidikan Perikanan, di sini, hari ini.

Datuk Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika menyampaikan ucapan perasmian
“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga menyediakan satu platform kepada pihak industri dan pihak- pihak berkepentingan untuk menghasilkan pendapatan yang menjana ekonomi negara melalui pendekatan kerjasama sinergi bersama agensi penggalak pelaburan dan pembangunan kapasiti dalam kalangan teknopreneur”, tambahnya lagi.
Beliau juga turut menyeru para nelayan mengamalkan aktiviti penangkapan ikan secara lestari serta mempunyai rasa tanggungjawab untuk memastikan ekosistem perikanan dipelihara sebaiknya demi kesinambungan generasi yang akan datang.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Bertemu Pelanggan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Peringkat Negeri Pulau Pinang di hadapan kira-kira 400 orang yang hadir.
Hari Bertemu Pelanggan merupakan salah satu program khusus Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam menawarkan perkhidmatan kerajaan yang holistik dan berkualiti demi untuk membantu nelayan, penternak ikan, pengusaha perikanan dan kumpulan sasar.
Konsep bertemu pelanggan adalah melalui sesi interaksi bersama kumpulan sasar, khidmat nasihat teknikal, sistem aduan dalam talian dan pelanggan boleh datang terus ke pejabat untuk membantu menyelesaikan permasalahan dan sebagai pemudahcara perkara yang dilaksanakan oleh kumpulan sasar.
Turut hadir pada majlis itu adalah Sim Tze Tzin, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Ahli Parlimen Bayan Baru, Dr. Afif Bahardin, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan dan Datuk Munir Mohd Nawi, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.