
Laporan/foto: Mahadi Mustafa dan Zulkifli Othman/Pejabat Pertanian Daerah Dungun (Dungun)
DUNGUN, 14 Mac (Malaysiaaktif) – Kelapa Pandan (Fragrant coconut) merupakan tanaman yang diusahakan bagi tujuan minuman air kelapa segar di Malaysia dan dipercayai berasal dari negara Thailand.
Kelapa Pandan kebanyakannya diusahakan di kawasan tanah rendah seperti di kawasan sawah padi atau tanaman dusun campuran di negara tersebut namun demikian, tanaman ini terdedah dengan pelbagai penyakit tumbuhan.
Justeru, bagi memberi pendedahan kepada pengusaha tanaman agar bebas dari penyakit di samping dapat mendatangkan hasil yang lumayan, Jabatan Pertanian Daerah Dungun telah mengadakan Kursus Kawalan Kulat Kelapa Pandan di Kampung Tebing Tembah melibatkan peserta berkelompok seramai 50 orang baru-baru ini.
Menurut Pegawai Pertanian Daerah Dungun, Nur Shazwani Mohd Salleh dalam penerangannya memaklumkan bahawa program ini memberi pendedahan kepada para petani kelompok mengenai penyakit bintik daun dan cara-cara pengawalan penyakit tersebut.
“Dalam program ini juga, demonstasi bancuhan dan semburan racun kulat telah dikendalikan oleh Pegawai Bahagian Biosekuriti Tumbuhan (BBT), Nasir Embong dan peserta diajar secara amali cara-cara penggunaan racun secara berkesan dan selamat,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pegawai Pertanian Agen Pengembangan Kawasan (APK) Paka, Mauluddin Jalil berkata semoga dengan penerangan yang diberikan oleh pegawai-pegawai dari Pejabat Pertanian Daerah Dungun ini dapat memberi ilmu dan menyuntik semangat peserta untuk lebih gigih dalam memastikan tanaman bebas daripada penyakit bintik daun.