Skip to main content
HomeJohor

Membaca Menyuburkan Kreativiti, Mencambah Inovasi

By 27 Mac 2019Tiada komen3 minit bacaan
 Laporan/foto: Siti Nabila Bohari/Sharifah Alia Syed Nasir/Ihsan Facebook page YM Che’Puan Khaleeda Bustamam

JOHOR BAHRU, 27 Mac (Malaysiaaktif) – Setitis tinta mampu membuat sejuta manusia berfikir tentangnya kerana penulisan adalah antara penciptaan yang paling agung dalam sejarah peradaban manusia dan mencetuskan martabat sesebuah penulisan buku tersebut.

Sejak akhir ini, hiburan digital dan gajet komunikasi salah satu elemen yang menenggelamkan keseronokkan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia dan ternyata era teknologi yang menguasai menyebabkan tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia agak menggusarkan.

Amalan dan budaya membaca dapat meletakkan diri pada tahap jauh lebih tinggi berbanding mereka yang malas membaca justeru hujah, idea, kreativiti dan hasil kerja mereka yang cenderung minat membaca terdapat kelainan dari aspek perancangan dan perlaksanaannya.

Keberangkatan tiba Che' Puan Khaleeda Bustamam ke Majlis Perasmian Penutup Program Anugerah NILAM peringkat Negeri Johor di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Johor

Keberangkatan tiba Che’ Puan Khaleeda Bustamam ke Majlis Perasmian Penutup Program Anugerah NILAM peringkat Negeri Johor di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Johor

Membaca juga mampu menyuburkan kreativiti serta mencambah inovasi dalam diri setiap individu. Amalan dan budaya suka membaca juga mampu melahirkan insan cemerlang yang menjadi aset terpenting Negara.

Kementerian Pendidikan Malaysia telah merangka usaha membina tabiat membaca dalam kalangan murid sekolah dengan melaksanakan satu program Anugerah NILAM iaitu Nadi Ilmu Amalan Membaca dilaksanakan di seluruh Negara sejak tahun 2000 lagi.

Program ini telah berjaya menampilkan beberapa tokoh NILAM di peringkat Kebangsaan seperti Dr. Nur Amalina Che Bakri dari SMK Ulu Tiram, Pasir Gudang yang muncul sebagai tokoh NILAM Kebangsaan pertama.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Johor, Aminolhuda Hassan, sepanjang perlaksanaan program NILAM ini, murid di negeri Johor secara puratanya pada tahun 2018 telah membaca sebanyak 36 buah buku dan penyertaan dalam Program NILAM telah meningkat.

Titah ucapan perasmian penutup oleh Che’ Puan Khaleeda Bustamam

Titah ucapan perasmian penutup oleh Che’ Puan Khaleeda Bustamam

“Peningkatan ini berpaksikan falsafah pendidikan Negara dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

“Pihak Kerajaan Negeri Johor melalui TERAS KELIMA iaitu memodenkan Sistem Pendidikan Islam, Modal Insan dan Warisan Budaya, Memperkasa Pendidikan Negeri johor akan memastikan elemen NILAM di semua sekolah Negeri Johor diberi tumpuan dan perhatian sepenuhnya.” Ujar beliau semasa ucapan Majlis Penutup Anugerah NILAM peringkat Negeri Johor di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor semalam.

Isteri Tunku Mahkota Johor, YM Che Puan Khaleeda Bustamam berkenan menyampaikan titah ucapan mengenai kepentingan membaca dan beliau berharap rakyat Johor menjadi rakyat suka membaca.

Beliau juga menyeru supaya ibu bapa dapat memainkan peranan dalam memupuk minat membaca dalam diri anak-anak sejak kecil lagi. Masa berkualiti perlu dimanfaatkan bersama anak-anak dengan amalan membaca supaya melahirkan generasi dan insan cemerlang yang menjadi aset Negara.

Penyampaian hadiah kepada pemenang Anugerah NILAM kategori Bahasa Inggeris sekolah menengah

Penyampaian hadiah kepada pemenang Anugerah NILAM kategori Bahasa Inggeris sekolah menengah

YM Che Puan Khaleeda turut berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingakan dalam Majlis Anugerah Program NILAM Peringkat Negeri Johor 2019 yang berlangsung di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Johor.

Anugerah NILAM peringkat Negeri Johor menjalani proses penilaian akhir di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Johor pada 18 hingga 20 Mac 2019 dan empat kategori telah dipertandingkan serta 44 orang calon telah menjalani proses penilaian akhir tersebut.

Johan setiap kategori akan mewakili Negeri Johor ke peringkat Kebangsaan yang diadakan di Selangor pada 2 hingga 5 April 2019.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri Johor, Datuk Abdul Rahim Haji Nin yang merupakan wakil rasmi Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia, Pegawai Daerah Johor Bahru dan ahli-ahli Dewan Negeri Johor serta ahli-ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Johor.

EM

Tinggalkan komen anda