Skip to main content
HomeJohor

Big Bad Wolf Tawar Diskaun 95 Peratus

By 27 Mac 2019Tiada komen3 minit bacaan
 Laporan/foto: Nor Adilah Abdullah (Johor Bahru)

MUTIARA RINI, 27 Mac (Malaysiaaktif ) – Sebanyak 3.5 juta buku dan majalah pelbagai genre disajikan oleh Pesta Buku Terbesar Big Bad Wolf 2019 untuk peminat buku di Johor Bahru.

Tahun ini, Johor merupakan destinasi kedua selepas negeri Pahang bagi memupuk minat suka membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menampilkan buku dengan potongan harga antara 75 peratus hingga 95 peratus, para pencinta buku boleh berbelanja mengikut kemahuan hati mereka bermula seawal 10.00 pagi hingga ke tengah malam sehingga 31 Mac ini di Jualan Buku Big Bad Wolf Perkarangan Tempat Kereta, Mydin Mall, Mutiara Rini.

Jualan ini menawarkan pelbagai pilihan buku paling laris, novel remaja, kisah percintaan, sains fiksyen, jenayah, kisah seram, perniagaan, seni bina, seni dan reka bentuk, resipi serta banyak lagi dan yang pelanggan boleh mendapatkan kesemua buku berkenaan di dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia.

Seorang pekerja di pesta buku ini, Amirah Sulaiman, 26,  berkata buku-buku yang dijual sesuai untuk semua peringkat usia dan menampilkan tajuk-tajuk buku dari kalangan penulis-penulis ternama serta buku dari penerbit tempatan yang terdiri lebih daripada 40 penerbit seperti PTS, Karangkraf, Dewan Bahasa dan Pustaka serta ITBM Publishing.

Buku yang dijual serendah RM2 di Big Bad Wolf

Buku yang dijual serendah RM2 di Big Bad Wolf

“12 penerbit buku indie turut mengambil bahagian di Jualan Buku ini termasuk Buku Fixi, Dubook Press, Lejen Press, The Patriots dan Mapple Comics.

“Buku-buku ilmiah terbitan Sasbadi dan Pelangi serta terbitan universiti di bawah kumpulan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) juga boleh didapati di sepanjang Jualan Buku tersebut selama 11 hari,” ujarnya.

Di samping itu, dalam usaha untuk menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan bagi si kecil, ibu bapa yang mengunjungi Jualan Buku tersebut pastinya akan berpuas hati dengan pemilihan buku yang dipersembahkan di bahagian kanak-kanak.

Antara buku yang disyorkan adalah buku augmented reality (AR) oleh Little Hippo yang mempunyai lapan jenis judul.

Menggunakan kecanggihan teknologi AR, buku AR Little Hippo mencipta satu pengalaman pembacaan yang immersive dan berinteraktif untuk si kecil, yang pastinya akan merevolusikan cara membaca, bermain dan belajar pada masa yang sama untuk generasi akan datang.

Siti Aminah (bertudung bunga) sedang melihat buku yang terdapat di pameran tersebut

Siti Aminah (bertudung bunga) sedang melihat buku yang terdapat di pameran tersebut

Sementara itu, pengunjung yang ditemui berharap pesta sebegini dapat diadakan dengan lebih kerap kerana selain daripada menikmati harga yang rendah dan murah ia secara tidak langsung dapat memupuk semangat membaca kalangan masyarakat.

Malah ada yang sanggup datang dari negara jiran, Singapura kerana tertarik untuk mendapatkan tawaran potongan harga yang menarik.

“Bagus pameran sebegini dan perlu lebih kerap diadakan. Kita boleh beli untuk anak-anak dan bagi mereka bahan bacaan yang sesuai dan yang penting kami mampu beli,” kata Siti Aminah kepada wartawan Malaysiaaktif.

Selain daripada buku, para pelanggan juga boleh membeli pelbagai cenderamata seperti lencana, magnet dan beberapa barangan berjenama Big Bad Wolf.

Memandangkan jualan ini akan berlangsung sehingga tengah malam, gerai-gerai jualan makanan yang  berkonsepkan food truck terdapat di sini bagi memudahkan para pengunjung untuk menjamu selera dan menghilangkan dahaga dengan beraneka makanan serta minuman yang lazat.

EM

Tinggalkan komen anda