Skip to main content
HomeTerengganu

Mufti Beri Inspirasi kepada warga SMAASZA

By 10 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Norhafizah Abd Rahim/Shuhaimi Ahmad (Kuala Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 10 Mac (Malaysia Aktif) – Warga Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) melahirkan rasa syukur dan bertuah kerana dapat meluangkan masa lebih kurang dua jam bersama Tokoh Alumni sekolah mereka, Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

SMAASZA merupakan sebuah pusat pengajaran agama yang tertua di Negeri Terengganu yang telah melahirkan ramai tokoh-tokoh terbilang negeri, antaranya Datuk Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar Ahmad, Datuk Dr. Mohamed Yusof Haji Mohd Noor dan ramai lagi.

Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri merupakan Alumni SMAASZA tahun 1988 sebelum beliau menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan menjawat jawatan mufti.

Sebahagian pelajar yang hadir

Sebahagian pelajar yang hadir

Program Bicara Tokoh Alumni dimulakan dengan perkongsian oleh Datuk Seri’ Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengenai kelebihan orang-orang yang menuntut ilmu.

Selain itu, beliau turut menasihati warga sekolah supaya tidak mensia-siakan waktu belajar untuk perkara yang tidak mendatangkan manfaat kepada diri.

Program diakhiri dengan sesi soal jawab antara Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan pelajar.

Nurul Fatihah Mohd Hisyam, pelajar SMAAZSA

Nurul Fatihah Mohd Hisyam, pelajar SMAAZSA

Menurut Nurul Fatihah Mohamad Hisyam, 15, pelajar SMAASZA, program bicara tokoh Alumni mampu memberikan suntikan semangat untuk lebih bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.

“Dengan teladan yang ditunjukkan oleh tokoh Alumni dan perkongsian mengenai ilmu, secara kesimpulannya saya sebagai seorang pelajar perlu mempunyai matlamat yang jelas dan perlu belajar bersungguh-sungguh dalam mencapai impian hidup.”

Bagi guru Pengajian Am sekolah tersebut, Asmarina Mohd Zin menyifatkan program sebegini sangat bagus kerana perkongsian ilmu yang bermanfaat dan sangat jarang diadakan selain memberi kesedaran kepada pelajar mengenai adab menuntut ilmu.

Asmarina Mohd Zin (kiri), Guru Pengajian Am

Asmarina Mohd Zin (kiri), Guru Pengajian Am

“Kadang-kadang pelajar suka membuat perbandingan di antara guru-guru dan saya berharap dengan perkongsian mengenai adab dengan guru tadi akan timbul kesedaran kepada pelajar untuk lebih menjaga adab dalam berguru.” ujarnya.

Sementara itu, Pengetua SMAASZA, Engku Abdullah Engku Dalam Ahmad dalam ucapan aluannya menyeru warga sekolah tersebut supaya mencontohi teladan Alumni yang ditonjolkan oleh Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Datuk Seri Dr. Zulkifli merupakan bukti kepada kata-kata apabila kita melakukan yang terbaik, insyaAllah hasilnya juga adalah terbaik bukan sahaja kepada diri malah kepada masyarakat dan agama sejagat.

Turut hadir, Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, Azmi Tengah.

EM

Tinggalkan komen anda