Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

“7 Caves In 1 Day” Beri Peluang Belia Terokai Gua

By 19 April 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan/foto : Mahazir Abu Hassan/Zainaudin Ab Hamid (Baling)

BALING, 19 Apr (Malaysiaaktif) – Melihat kepada keindahan dan keunikan tujuh gua di sini, rata-rata peserta kelihatan teruja dapat menikmati keindahan semula jadi ini.

Peserta Siti Nur Fatihah Yahaya, 21, berkata program sebegini amat baik kerana menguji stamina dan kekuatan serta semangat dalaman peserta untuk memanjat batu-batu gua.

“Meneroka kegelapan gua dengan hanya berbekalkan lampu suluh untuk melihat keunikan bentuk-bentuk dinding gua, dan berharap kawasan ini terus dipelihara untuk generasi akan datang melihat khazanah alam yang unik ini.

Peserta menikmati keindahan di dalam gua.

Peserta menikmati keindahan di dalam gua.

“Saya difahamkan Gunung Pulai ini akan dijadikan kuari baharu, semoga perkara ini tidak terjadi kerana kesan buruknya berlaku dalam jangka masa panjang dan penduduk sekitarnya akan menjadi mangsa akibat kemusnahan ekosistem alam,” ujarnya ketika ditemui setelah selesai menjelajah Gua Gunung Pulai, di sini kelmarin.

Seramai 40 belia dan beliawanis berumur 15 hingga 25 tahun di bawah program Rakan Muda Kreatif (Rakan Cinta Alam) berjaya menerokai alam dengan menjelajah tujuh gua dalam satu hari .
Pegawai Belia dan Sukan Daerah Baling Maizatul Akmam Adam berkata objektif program ini adalah untuk memupuk semangat jati diri, kerjasama dan daya tahan para peserta.

Aktiviti flying Fox turut dilakukan untuk menguji adrenalin peserta di Lata Bayu, di sini.

Aktiviti flying Fox turut dilakukan untuk menguji adrenalin peserta di Lata Bayu, di sini.

“Hari ini kita berjaya masuk ke Gua Tok Sheikh, Gua Gelap, Gua Haji Putih, Gua Ikan, Gua Bunian, Gua Tembus dan Gua Kelambu dan saya bersyukur peserta dapat menerokai alam tanpa kecederaan dan bersemangat untuk menjelajah dari gua ke gua,” ujarnya.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu Datuk Sopian Ahmad berkata program ini amat baik dan berjaya dalam usaha untuk memperkenalkan gua-gua yang ada kepada generasi muda.

“Anak muda harus diberi kesedaran betapa pentingnya alam sekitar ini dipelihara dalam usaha mengekalkan khazanah alam untuk tatapan generasi akan datang,” katanya ketika ditemui setelah selesai program.

-SH

Tinggalkan komen anda