
Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat(Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 1 Apr (Malaysiaaktif) – Ahli Jawatankuasa baharu Persatuan Tindakan Wanita Islam Sabah (PERTIWISA) diharap dapat menerajui kesinambungan khidmat bakti dan mengharumkan nama PERTIWISA di Sabah.
Pengerusinya, Zaleha Mohd Kassim dalam ucapannya berkata pemilihan AJK baharu perlu dilakukan dengan bijaksana supaya PERTIWISA akan lebih cemerlang demi agama, bangsa dan negeri Sabah.
“Sepanjang dua tahun lalu PERTIWISA banyak meningkatkan aktiviti masing-masing dengan jayanya sama ada di peringkat pusat dan cawangan.
“Bagi pihak PERTIWISA pusat, selain aktiviti-aktiviti agama, sosial, kebajikan dan pendidikan yang sentiasa kita jalankan, antara yang paling membanggakan ialah satu projek ekonomi iaitu Bazar Amal untuk Tabung PERTIWISA yang telah berjaya mengumpul sebanyak kira-kira RM14 ribu.
“Sebanyak 40 gerai dibuka dan diurus oleh ahli dan bukan ahli dengan berniaga barangan seperti barangan keperluan dapur, buah-buahan, pakaian, tudung, benih herba, orkid, makanan dan minuman yang mana 20 peratus hasil jualan disumbangkan ke Tabung Amal PERTIWISA,” ujarnya ketika merasmikan Mesyuarat Agong Perwakilan ke-32.
Menurut Zaleha juga, Biro Pendidikan turut mengadakan Kelas Tajwid yang berjaya mengumpul seramai 38 peserta, yang dibuka kepada umum serta ahli PERTIWISA sendiri dan hasilnya ramai peserta yang sudah celik tajwid.
“Kejayaan seterusnya, kita dapat menyertai Perarakan sempena menyambut Maulidur Rasul Peringkat Negeri dengan kerjasama cawangan Tuaran hingga berjaya mendapat Anugerah Kontinjen Wanita NGO Paling Ramai dan mendapat hadiah ketiga untuk sepanduk.
“PERTIWISA juga sempat bekerjasama dengan aktivis Concern dengan memberi sumbangan kewangan membantu mangsa kebakaran di Pulau Banggi demi kekuatan NGO Muslim di Sabah.
“Sehubungan itu, saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pengerusi dan AJK cawangan yang telah bekerjasama menghulurkan khidmat bakti demi kesejahteraan dan kemajuan wanita Islam di kawasan masing-masing,” kata Zaleha.
Seramai hampir 100 orang AJK dan ahli-ahli PERTIWISA dari seluruh negeri hadir pada mesyuarat yang dijalankan di Wisma MUIS pada Sabtu.