Skip to main content
HomeJohor

Pendidikan Mengenai Hutan Penting Untuk Kelestarian Hutan Negara

By 1 April 2019Tiada komen3 minit bacaan
 Laporan/foto: Abassalimi Mohamad (Kluang)

KLUANG, 1 April (Malaysiaaktif) – Tema ‘Hutan dan Pendidikan’ sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Johor dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian di Taman Eko Rimba Gunung Belumut, Kluang semalam.

Hutan merupakan habitat semula jadi bagi membentuk sebuah ekosistem kompleks semua jenis biodiversiti untuk berinteraksi dan saling memerlukan antara satu sama lain dan menyediakan suatu persekitaran yang sangat sesuai untuk kehidupan manusia.

Manusia juga tidak terkecuali untuk senantiasa memerlukan hutan sama ada daripada segi keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat perlidungan, oksigen dan seterusnya menyumbang kepada keperluan ekonomi, sosio budaya serta persekitaran yang nyaman.

Hutan Hujan Tropika di Negeri Johor secara umumnya terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu Hutan Paya Laut, Hutan Paya Gambut dan Hutan Darat dan mendapat pengiktirafan antarabangsa iaitu Prospek Kepelbagaian Global 2001 sebagai salah satu negara mega kepelbagaian biologi dunia.

Kepelbagaian biologi atau biodivesiti termasuklah alam Monera yang terdiri daripada eubakteria dan alga biru-hijau, Protista yang terdiri daripada eukariotik uniselular atau multiselular yang tidak mempunyai kemiripan ciri tumbuhan atau haiwan, Fungi atau segala jenis kulat, Plantae atau segala jenis tumbuhan dan Animalia atau segala jenis serangga dan haiwan.

Menteri Besar Melawat ke Gerai-Gerai Pameran sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Johor 2019

Menteri Besar Melawat ke Gerai-Gerai Pameran sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Johor 2019

Keluasan hutan yang mencukupi adalah penting bagi menjamin pemeliharaan sumber kepelbagaian biologi hutan dan oleh sebab itu perlindungan alam semulajadi, kelangsungan penjanaan ekonomi sektor perhutanan, persekitaran mesra alam dan penerimaan masyarakat yang berterusan terhadap pengurusan hutan melalui amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB) adalah penting untuk mengekalkan kelestarian hutan di negeri ini.

Johor mempunyai keluasan tanah lebih kurang 1.92 juta hektar dan daripada jumlah tersebut seluas 332,749 hektar merupakan Hutan Simpanan Kekal (HSK) tidak termasuk kawasan cadangan HSK seluas 80,420 hektar.

Pendidikan berteraskan hutan yang merentas pelbagai disiplin keilmuan dan penglibatan oleh pelbagai pihak dialu-alukan dalam membangun dan mengembangkan sektor pendidikan hutan.

Kerajaan Negeri juga aktif menggiatkan program dan aktiviti penanaman pelbagai spesies pokok yang sesuai di kawasan lapang (terbuka), kawasan bencana alam dan kawasan persisiran pantai di Johor.

Pada tahun 2018, sebanyak 450,000 pokok telah berjaya ditanam melalui program ini manakala bagi tahun 2019, sebanyak 700 ribu pokok telah disasarkan yang bertujuan untuk memulihara dan memelihara khazanah sumber hutan atau memperbanyakkan kawasan hijau diwujudkan di Negeri Johor.

Demonstrasi Perolehan Biji Benih Oleh Pasukan Elit Perolehan Biji Benih Jabatan Perhutanan Negeri Johor

Demonstrasi Perolehan Biji Benih Oleh Pasukan Elit Perolehan Biji Benih Jabatan Perhutanan Negeri Johor

Menurut Osman, Kerajaan Negeri amat menyedari akan hakikat betapa pentingnya sumber hutan negeri perlu dijaga bagi mengekalkan peranannya ke arah kesejahteraan sejagat.

“Selari dengan aspirasi Perdana Menteri Malaysia ketika berucap di dua Persidangan Antarabangsa  di Earth Summit Rio de Janeiro 1992 dan COP 15 UNFCCC di Copenhagen pada tahun 2009 untuk memastikan sasaran 50 peratus kawasan tanah negara adalah berhutan samada sebagai hutan tanah kerajaan, hutan simpanan kekal atau hutan tanah milik.

“Sejajar dengan itu juga Kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Johor telah menyasarkan atau akan memastikan sekurang-kurangnya 17 peratus kawasan tanah di negeri Johor ini akan terus kekal berhutan dan dalam pada itu juga kerjasama yang erat bersama-sama agensi yang berkaitan sedang dalam tindakan dan telah diambil untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang sesuai untuk diwartakan sebagai hutan simpanan kekal,” ujarnya.

“Sambutan Hari Hutan Antarabangsa ini disambut adalah untuk meningkatkan kesedaran akan kepentingan hutan kepada kehidupan manusia kerana hutan hujan tropika memberikan keperluan dan manfaat yang tidak terhenti kepada manusia tanpa sebarang keraguan,“ katanya semasa perasmian Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Johor 2019.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani, Speaker Dewan Negeri, Suhaizan Kaiat,  Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan Koperasi dan Ekonomi Kreatif Negeri Johor, Sheikh Omar Bagharib Ali dan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Nor Akhirrudin Mahmud.

Penyampaian Hak Milik Tanah Oleh EXCO Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif Negeri Johor

Penyampaian Hak Milik Tanah Oleh EXCO Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif Negeri Johor

Bersempena dengan sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Johor 2019 pihak Pejabat Daerah Kluang bersama Pejabat Tanah Daerah Kluang, Pejabat FELDA Ulu Dengar dan Pejabat FELCRA Sungai 10 telah bersepakat untuk mengadakan kerjasama erat dengan Jabatan Perhutanan Negeri Johor bagi menjayakan Penyerahan Hak Milik Tanah dan penerima juga telah dibekalkan dengan anak pokok buahan hutan untuk ditanam dalam kawasan tanah mereka.

EM

Tinggalkan komen anda