Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

Berakhirnya Kemarau Sedekad

By 2 April 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan/foto: Azhar Ismail/Rosli Md.Zain/Arkib Fail CTU PKPM Kelantan (Kelantan)

BACHOK, 2 Apr (Malaysiaaktif) – Kemarau panjang yang melanda hampir dua bulan telah menggamit ingatan Norasikin sekeluarga akan keperitan dihadapinya bersam-sama empat anak dan dua cucu yang masih kecil di pondok kediaman mereka beberapa tahun lalu.

Pondok kecil satu bilik itulah tempat berteduh selama sepuluh tahun meneruskan kehidupan bersama anak-anak dan cucu setelah kematian suaminya.

Norasikin Muhammad, 41, merupakan salah seorang penerima bantuan daripada program inisiatif Perluasan Skop Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang dilaksanakan pada tahun 2017/2018.

Semasa tinjauan MalaysiaAktif di kediamannya, di Kampung Tok Burung, di sini, beliau meluahkan kesyukuran atas bantuan yang telah diterima melalui projek baik pulih kediaman yang membolehkan beliau mendiami rumah baharu ini.

“Saya tiada daya untuk menyiapkan pembinaan rumah peninggalan suami yang tergendala kerana pendapatan hanya sekadar cukup makan dengan mengambil upah mencuci pakaian jiran, tambahan pula keempat-empat anak saya masih bersekolah dan perbelanjaan anak-anak adalah menjadi keutamaan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Norasikin berkongsi keperitan yang dialami sebelum ini, khususnya ketika musim kemarau kerana pondok yang didiami agak sempit, rendah serta tidak boleh menggunakan kipas siling.

Keadaan rumah lama Norasikin sebelum disempurnakan melalui inisiatif program Perluasan Skop NBOS-CTU KKMM 2017/2018.

Keadaan rumah lama Norasikin sebelum disempurnakan melalui inisiatif program Perluasan Skop NBOS-CTU KKMM 2017/2018.

“Haba dari luar dan dalam menimbulkan suasana tidak selesa, khususnya kepada dua orang cucu yang masih bayi ketika itu. Sebahagian besar hari siang kami berada di luar rumah bagi mengelakkan bahang haba.

“Anak-anak pula terpaksa mengulangkaji pelajaran di bawah pokok berhampiran kawasan rumah dan pada waktu malam kami terpaksa membuka tingkap bagi mengudarakan ruang rumah untuk keselesaan anak serta cucu tidur dan berehat meskipun berisiko terhadap gangguan sekitar,” katanya lagi.

Kini beliau bersyukur kerana musim kemarau pada tahun ini beliau tidak lagi terpaksa melalui keperitan panas seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Rumah peninggalan arwah suami telah sempurna disiapkan dengan ruang yang selesa buat kami sekeluarga. Kami lebih selesa dengan adanya kipas siling dan ruang atas yang tinggi serta tingkap yang boleh memberi ruang udara dengan baik,” tambahnya.

Kemarau sedekad tanpa rumah sendiri telah berakhir bagi ibu tunggal ini, dan beliau tegar mengharungi dan meneruskan kehidupan tanpa suami.

Harapan yang tinggi diletakkan kepada kejayaan anak-anak dalam akademik kerana beliau yakin bahawa pencapaian yang baik dalam akademik mampu merubah sosioekonomi seseorang dan keluarga.

-SH

Tinggalkan komen anda