Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

‘Cheq’ Tak Takut ‘Mati’

By 20 April 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto : Mahazir Abu Hassan/Mohamad Nor Eman Abd Latif (Baling)

BALING, 20 Apr (Malaysiaaktif) – Bagi peserta termuda Mohamad Saiful Mustakim, 13, dari Kampung Tok Saba, perasaan takut dan cemas untuk dimandi dan dikafankan tiada didalam dirinya kerana ini kali kedua beliau menjadi model jenazah.

“Saya dengan sukarela menjadi model kerana dapat merasai sendiri pengalaman menjadi jenazah dan ini sedikit sebanyak dapat menginsafkan diri disamping dapat menarik minat rakan-rakan seusia saya supaya belajar tentang kursus ini,” ujarnya ketika ditemui setelah selesai mengikuti kursus pengurusan jenazah di sini.

Imam Masjid al-Huda, Shaari Junus berkata kursus ini bertujuan mendedahkan peserta tentang pentingnya ilmu fardu kifayah dan menambahkan ilmu pengetahuan peserta agar lebih bersedia dalam memberi khidmat terakhir kepada waris atau jiran tetangga.

Peserta didedahkan dengan tatacara tindakan awal ketika berlaku kematian sehinggalah ke pengurusan pengebumian.

Peserta didedahkan dengan tatacara tindakan awal ketika berlaku kematian sehinggalah ke pengurusan pengebumian.

“Saya mahu anak-anak kariah terutama sekali generasi muda belajar tentang ilmu ini kerana jika dilihat pada masa sekarang jurumandi jenazah yang ada semuanya telah berumur dan tidak ramai anak-anak muda yang mahu menjadi pelapis,” jelasnya ketika ditemui di masjid tersebut, siang tadi.

Peserta dari Kampung Hangus, Rashidi Che Sa, 42, berkata kursus ini amat penting dan perlu dipelajari untuk kegunaan pada masa hadapan.

“Kami telah didedahkan secara teliti tentang tatacara tindakan awal ketika berlaku kematian sehinggalah ke pengurusan jenazah terakhir dan ilmu ini akan kami gunakan jika ada ahli keluarga terdekat atau jiran tetangga meninggal dunia kelak,” ujarnya.

Program Pengurusan Jenazah dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Baling ini telah berjaya menarik minat seramai 50 orang peserta mewakili tujuh kampung di bawah Kariah Masjid al-Huda Kampung Hangus mengikuti kursus ini dan didedahkan secara teori serta amali pengurusan jenazah.

-SH

Tinggalkan komen anda