Skip to main content
HomeLabuan

Kerajaan Laksana Pelbagai Usaha Lahirkan Guru Berkualiti Labuan

By 20 April 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus

LABUAN, 20 April (Malaysiaaktif) – Kerajaan melaksanakan pelbagai usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Menurut Pengerusi Perbadanan Labuan (PL), Datuk Seri Amir Hussien, pelbagai pendekatan dibuat bagi menyokong perkhidmatan perguruan ini agar terus efisien dan profesional.

“Antara langkah yang telah diusahakan termasuklah memantapkan latihan perguruan, menambah baik sistem pemilihan calon guru, melonjakkan kecemerlangan institusi latihan perguruan dan menambah baik laluan kerjaya serta kebajikan guru.

“Walaupun keadaan ekonomi negara sedikit terjejas pada masa ini, namun kerajaan tetap menunaikan janjinya dalam menghargai peranan yang dimainkan oleh kakitangan awam untuk memastikan kemajuan negara terus dipertahankan,” katanya.

Jelasnya, laluan kerjaya guru juga sudah ditambah baik melalui Rakan Peningkatan Sekolah (SiPartners+) dan Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) ditempatkan di Pejabat Pendidikan di seluruh negara sejak 2014 merupakan wadah yang mampu melonjakkan kecemerlangan guru.

“Guru-guru yang terpilih ini membantu sekolah dan guru-guru lain dalam mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

“Perkara ini merupakan transformasi pendidikan negara agar sektor ini terus berdaya saing dengan negara-negara maju.

“Pihak kerajaan akan terus bersama-sama memartabatkan profesion keguruan ini agar profesion ini akan terus signifikan dalam mengharungi arus kemajuan dunia,” katanya semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutan Labuan Tahun 2019, pagi tadi.

Raisin (tengah) menyampaikan Anugerah Anak Guru Cemerlang kepada anaknya Izyan Zahirah Raisin,17.

Raisin (tengah) menyampaikan Anugerah Anak Guru Cemerlang. 

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Labuan, Raisin Saidin berkata, guru perlu menyedari peranan mereka dalam mendidik dan mengubah nasib anak bangsa.

“Selaras dengan tema Hari Guru pada tahun ini, iaitu ‘Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi’, guru hendaklah menyedari bahawa mereka merupakan insan berbudi berperanan penunjuk ilmu untuk menerangi kehidupan anak didik.

“Untuk menghadapi persaingan global yang semakin sengit dalam persekitaran ekonomi hari ini, sistem pendidikan kita sebenarnya memainkan peranan yang amat penting dalam melahirkan insan yang boleh mendepani cabaran masa hadapan,” katanya.

Raisin turut menyeru warga pendidik agar menyiapkan diri seiring dengan perubahan zaman.

“Tugas dan tanggungjawab besar yang terletak di bahu para guru menuntut komitmen yang tinggi khususnya dalam menghadapi persaingan global yang menuntut perubahan dinamik dalam sistem pendidikan.

“Guru sebagai golongan profesional perlu bersedia untuk menerima perubahan dan memiliki ciri inovatif dan perlu sentiasa menambah nilai intelektualnya kerana guru merupakan agen perubahan dalam menghasilkan modal insan yang diperlukan oleh negara kita,” katanya semasa menyampaikan ucapan aluan.

Pada Majlis itu, Mantan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pantai, Jumat Latip, 60, dinobatkan sebagai Tokoh Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan bagi tahun 2019.

Manakala 11 orang pelajar sekolah dan Kolej Matrikulasi turut menerima Anugerah Anak Guru Cemerlang.

EM

Tinggalkan komen anda