
laporan / foto : Mohamad Zairin Mohamad Zin (Selangor)
SHAH ALAM, 15 Apr (Malaysiaaktif) – EXCO Pemberdayaan Dan Pembangunan Sosio Ekonomi Dan Kerajaan Prihatin, V. Ganabatirau menekankan semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam membasmi wabak denggi daripada terus menular.
“Orang ramai perlu mempunyai kesedaran bahawa pentingnya menjaga kebersihan kawasan persekitaran dan masyarakat sepatutnya tidak hanya meletakkan tanggungjawab membasmi dengi ini pada pihak berkuasa semata tetapi diri sendiri juga perlu sedar akan tanggungjawab ini dan ini merupakan tanggungjawab bersama,” tegas beliau ketika ditemui pada Program Gotong Royong Perdana Basmi Denggi bertempat di Pangsapuri Rimau Perdana, Shah Alam kelmarin.
Beliau turut memberi galakan kepada masyarakat setempat untuk mengambil masa selama 10 minit dalam seminggu untuk pastikan kawasan kediaman dan premis masing-masing dalam keadaan bersih dan kemas.
“Dengan cara ini, ia dapat meningkatkan kesedaran dalam masyarakat berkaitan wabak denggi ini dan dapat mewujudkan persekitaran yang bersih. Kita memerlukan sokongan dari orang awam khususnya daripada penduduk untuk membanteras isu denggi ini,” ujar beliau.
Turut hadir sama adalah Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan dan Pengarah Bahagian Perunding Kesihatan Persekitaran Jabatan KPKT, Ooi Poh Keong.