Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurPutrajaya

Industri Disaran Sokong Pertandingan Kemahiran Bantu Perkasa Bidang TVET

By 16 April 2019Tiada komen3 minit bacaan

KUALA LUMPUR, 16 April (Malaysiaaktif) – Pihak industri di negara ini disaran agar bekerjasama dan terlibat secara aktif dalam menyokong pertandingan kemahiran yang dianjurkan untuk memperkasa bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata penglibatan lebih banyak pihak industri yang bergiat aktif dalam aktiviti pertandingan kemahiran akan membantu meningkatkan lagi kompetensi dan kualiti tenaga kerja mahir yang bakal dilahirkan.

“Ini secara tidak langsung akan turut menyumbang kepada pembangunan industri itu sendiri. Keterlibatan pihak industri akan meningkatkan kualiti latihan dan keyakinan peserta negara memandangkan mereka mendapat pendedahan secara terus teknologi semasa dan suasana kerja sebenar di industri.

“Pelaburan dalam meningkatkan daya saing tenaga mahir negara ini akan mendapat pulangan pada masa hadapan dari segi keyakinan pelabur dalam sektor-sektor industri tertentu yang mencapai kecemerlangan dalam pertandingan sebegini,” katanya dalam ucapan ketika melancarkan kontinjen Malaysia yang akan menyertai World Skills Competition (WSC) 2019 di Kazan, Russia dari 16 hingga 26 Ogos ini.

Teks ucapan Dr Wan Azizah dibacakan oleh Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran.

WSC merupakan pertandingan kemahiran peringkat tertinggi dunia yang dianjurkan setiap dua tahun oleh World Skills International (WSI).

WSC Kazan melibatkan penyertaan 60 negara yang akan bersaing dalam 56 bidang kemahiran. Pertandingan ini merupakan acara kemahiran terbesar dunia yang dijangka melibatkan penyertaan kira-kira 1,600 belia berkemahiran dari seluruh dunia.

Kontinjen Malaysia yang dikelolakan dua kementerian, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kerja Raya, diwakili 20 belia negara yang akan bertanding dalam 20 bidang kemahiran.

Peserta yang mewakili negara di WSC Kazan 2019 adalah peserta cemerlang dalam pertandingan peringkat kebangsaan dan ASEAN iaitu pertandingan World Skills Malaysia Belia (WSMB) 2018 dan ASEAN Skills Competition (ASC) Bangkok 2018.

Peserta-peserta berkenaan terdiri daripada pelajar Institusi Latihan Kemahiran Awam dan Swasta (ILKA/ILKS) serta Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta ((IPTA/IPTS).

Menurut Dr Wan Azizah, penyertaan dalam pertandingan kemahiran peringkat antarabangsa memberi impak dan manfaat yang besar kepada negara termasuk dapat pengiktirafan tahap kemahiran kemahiran belia dan pelajar dalam bidang TVET, menanda aras tahap kemahiran peserta negara di peringkat dunia dan memartabatkan TVET Malaysia di peringkat antarabangsa.

Sebagai suntikan semangat, pemenang pingat emas pada pertandingan itu akan menerima ganjaran wang tunai berjumlah RM40,000, pingat perak (RM20,000), pingat gangsa (RM10,000) manakala peserta yang mencapai ‘Medallion for Excellence’ akan menerima RM4,000, serta penerima pingat akan turut dianugerahkan sijil Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran dalam bidang kemahiran masing-masing.

Dr Wan Azizah turut menggesa Majlis Pertandingan Kemahiran Malaysia (MPKM) yang dipengerusikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mahfuz Omar supaya menyelaraskan semua aktiviti pertandingan kemahiran di pelbagai peringkat, termasuk daripada sektor awam dan swasta.

“Penyelarasan pertandingan di semua peringkat adalah penting bagi memastikan kualiti penganjuran dan boleh dijadikan antara kaedah mencungkil bakat-bakat tenaga mahir untuk mewakili negara ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Ini kerana, kecemerlangan pelajar TVET bukan sahaja diukur daripada segi kebolehpekerjaan, malah ia turut diukur melalui penyertaan dan pencapaian mereka dalam pertandingan kemahiran sama ada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda