Skip to main content
Berita Tempatan

Majlis Istiadat Menambang Penyandang Pusaka Adat

By 25 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Sapar Sutir (Rembau)/Abdul Razak Yassin

REMBAU, 25 Apr (Malaysiaaktif) – Rembau merupakan antara daerah beradat yang masih mengamalkan Adat Perpatih dalam pelantikan ketua adat atau penyandang pusaka adat.

Majlis Istiadat Menambang Penyandang Pusaka Adat, Azlan Haji Mohd. Shah, 61, yang dilantik sebagai ‘buapak’ Suku Biduanda Waris Sedia Raja Kampung Bukit, telah berlangsung dengan penuh adat, di sini baru-baru ini.

Upacara istiadat telah disempurnakan oleh Dato’ Perba Lembaga Waris Biduanda Nan Dua Carak, Abdul Razak Yassin di Telapak Teratak Penyandang Pusaka ibu Azlan yang turut disaksikan Dato’-Dato’ Buapak Delapan Kampong dan Besar-Besar Waris Kampung Bukit.

Menurut Dato’ Adat Balai Undang Rembau Abdul Razak Yassin, Istiadat Menambang ini merupakan upacara rasmi adat bagi Pengistiharaan Penyandang Pusaka yang baharu dilantik.

Antara Dato'-Dato' Adat yang hadir.

Antara Dato’-Dato’ Adat yang hadir.

“Dalam upacara adat berkenaan, akan diistiharkan dan diumumkan secara rasmi oleh Dato’ Lembaga akan nama penyandang pusaka dan gelarannya serta peranan, tugas dan tanggungjawab ketua atau pemimpin adat dalam suku, perut, kampung atau luaknya.

“Turut diumumkan hak dan keistimewaan sebagai penyandang pusaka, pantang-larang kepada penyandang dan juga kepada anak-anak buah dan sebagainya,” katanya selepas menyempurnakan perlantikan Dato’ Menteri itu.

Menurut Razak lagi, Majlis Istiadat Menambang Dato’ Menteri Buapak Biduanda Waris Sedia Raja ini berlangsung dengan penuh adab mengikut peraturan adat yang telah diamalkan turun temurun.

“Semoga Adat Perpatih terus hidup subur diamalkan dan dimartabatkan di Luak ini, bak kata perbilangan adat nan patah kan tumbuh, yang hilang kan berganti, adat pusaka ibarat kain,  disimpan ia lusuh, dipakai ia baharu, lapuk-lapuk dikajangi, usang-usang diperbaharui.

“Tiap sesuatu dengan muafakat, begitu kata maka suci, begitu perbuatan maka sempurna, bulat air dek pembuluh, bulat kata dek muafakat, nan elok dipakai nan buruk dibuang, melihat contoh pada yang sudah, melihat tuah pada yang menang,” katanya penuh berkias.

-SH

Tinggalkan komen anda