Skip to main content
Berita TempatanHomeTerengganu

Mek Tuntung Tekad Selamatkan Batagur Baska

By 23 April 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Mohd Syukri Ibrahim (Kemaman)

AIR PUTIH, 23 Apr (Malaysiaaktif) – Batagur Baska atau lebih dikenali sebagai Tuntung oleh masyarakat di negara ini sedang mengalami tempoh kepupusan jika tiada inisiatif serius diambil untuk melindungi haiwan tersebut.

Telurnya yang boleh dimakan serta sering tersangkut di mata kail nelayan menjadi antara punca utama haiwan ini mengalami kepupusan.

Sehubungan itu, Dr Chen Pelf Nyok atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Mek Tuntung” oleh masyarakat tempatan di negeri ini yang merupakan penyelidik spesis lelabi telah merintis usaha pemuliharaan tuntung sungai yang terancam secara bersama antara kerajaan dan masyarakat setempat.

Dr Chen menerangkan sesuatu kepada pelawat tentang rangka asal Tuntung sungai ini

Dr Chen menerangkan sesuatu kepada pelawat tentang rangka asal Tuntung sungai ini

Ketika penyelidikan dilakukan, beliau menemukan tuntung sungai di Sungai Kemaman yang kemudiannya mengambil inisiatif sendiri dengan menubuhkan “Turtle Conservation Society Of Malaysia” (TCS) sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi memelihara spesis ini.

Melalui TCS, spesis tuntung sungai yang naik bertelur di sekitar Sungai Kemaman akan dieramkan di Pusat Penetasan tuntung yang beliau wujudkan di Kampung Pasir Gajah, Kemaman dengan bantuan masyarakat setempat.

Pada tahun 2016, TCS telah diberi sebuah bangunan dan tanah oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Air Putih sebagai tempat untuk penetasan tuntung sungai tersebut. Chen kemudiannya telah mewujudkan sebuah galeri tuntung dalam bangunan ini sebagai pendidikan kepada masyarakat setempat dan juga luar tentang spesis yang terancam ini.

“Terdapat 100 ekor tuntung berumur sekitar 1 hingga 4 tahun di Pusat Penetasan tuntung yang dipelihara untuk tontonan orang awam. Pada tahun ini, kita berjaya eramkan lebih seribu biji telur tuntung dan dijangka akan menetas pada bulan Mei tahun ini.

Telur yang dieram akan ditampal kenyataan tentang telur tersebut

Telur yang dieram akan ditampal kenyataan tentang telur tersebut

“Sebiji telur yang dieram mengambil masa yang lama untuk menetas iaitu antara 70 hingga 90 hari dan tuntung hanya mula bertelur bila sudah menjangkau usia 20 tahun ke atas. Tuntung juga hanya bertelur pada bulan Februari dan bulan Mac sahaja setiap tahun.

“Untuk rekod, terdapat hanya tiga buah negara sahaja yang terdapat tuntung sungai iaitu Malaysia (Semenanjung Malaysia), Thailand dan Kemboja. Perkara unik tentang tuntung ini ialah tidak mengeluarkan semua telurnya di dalam satu lubang seperti penyu tetapi tuntung akan menggali lubang yang lain untuk keluarkan ke semua telurnya itu,” ujar Dr. Chen.

“Setiap kali pelepasan tuntung ke dalam sungai, satu karnival akan diadakan dengan menjemput orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman melepaskan anak tuntung ke dalam sungai. Secara tidak langsung, aktiviti ini telah mendidik masyarakat untuk sama-sama melindungi haiwan yang terancam ini,” ujarnya lagi.

“Saya berharap usaha ini terus mendapat sokongan dan kerjasama semua pihak samada kerajaan mahupun masyarakat setempat untuk memastikan spesis tuntung sungai tidak mengalami nasib yang sama seperti harimau yang kini tinggal hampir 200 ekor sahaja di seluruh negara.

Dr Chen berada di hadapan tempat pengeraman telur Tuntung

Dr Chen berada di hadapan tempat pengeraman telur Tuntung

“Saya juga berharap badan-badan korporat turut sama membantu pihak kami menjayakan misi menyelamatkan spesis tuntung sungai daripada kepupusan,” katanya mengakhiri perbualan.

EM

Tinggalkan komen anda