Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Menteri Kesihatan Rasmi Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan 2019

By 29 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto : Mohd Shahfuri Saidan

Bandar Baru Bangi, 29 Apr (Malaysiaaktif) –Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) telah  menganjurkan Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan 2019 pada hari ini di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia.

Dengan bertemakan ” Bersama Dilindungi, #Vaksin Berkesan” Sambutan ini diadakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang imunisasi sebagai salah satu daripadanya intervensi awam yang paling kos efektif dan untuk mempromosikan penggunaan vaksin sebagai perisai untuk melindungi masyarakat bukan sahaja bayi dan kanak-kanak bahkan pelbagai lapisan umur untuk mencegah penyakit cegahan vaksin.

Ketika berucap pada majlis perasmian, YB Menteri Kesihatan menggalakkan semua pihak untuk memainkan peranan dalam memastikan liputan Imunisasi yang menyeluruh dapat dicapai, agar penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin tidak lagi mengancam kesihatan dan nyawa kita.

Tambah beliau,” Pada tahun 2018 terdapat 1,958 kes measles (demam campak) di seluruh Malaysia dengan enam kematian, berbanding 1,709 kes dan dua kematian pada tahun 2017. Sebanyak 892 kes Pertussis ( batuk kokol) dicatatkan dengan 22 kematian pada 2018 yang juga mengalami peningkatan. Majoriti kes-kes ini tidak menerima suntikan vaksin.

Jelas beliau lagi, liputan Imunisasi yang tidak menyeluruh antara menjadi faktor penyumbang kepada rebakan jangkitan dalam masyarakat seterusnya punca peningkatan ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia terus komited untuk meneruskan Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan yang memberi manfaat kepada hampir 500,00 bayi yang dilahirkan setiap tahun sehingga ke murid sekolah berumur 15 tahun dengan peruntukan hampir RM150 juta.

Dalam Majlis itu juga YB Menteri Kesihatan turut bersama-sama peserta menjalankan aktiviti Immunization Walk disekitar Taman Tasik Cempaka.

Turut hadir dalam program tersebut adalah Dr.Ying-Ru Lo, Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia, Brunei Darussalam Dan Singapura, YBhg. Dato’ Dr. Khalid bin Ibrahim, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor
-NAZ

Tinggalkan komen anda