Skip to main content
Berita TempatanSelangor

Pangsapuri Lebih 30 Tahun Perlu Pemeriksaan Menyeluruh

By 29 April 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 29 April (Malaysiaaktif) – Bangunan atau pangsapuri yang berusia lebih 30 perlu menjalani pemeriksaan menyeluruh oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata cadangan pembangunan semula pangsapuri yang berusia lebih 30 tahun itu turut terkandung Dasar Pembangunan Negara.

“Tumpuan akan diberikan kepada rumah kos rendah khususnya yang terletak di lereng-lereng bukit, tanah tinggi, kawasan lembap dan sebagainya. Di kawasan Ampang majoriti rumah kos rendah ini dibina antara 28 hingga 30 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meninjau situasi di blok F bangunan Pangsapuri Keramat Permai di sini, hari ini.

Zuraida (kanan) bersama Azmin ketika meninjau Blok F Pangsapuri Keramat Permai yang terjejas akibat struktur bangunan retak sejak Jumaat lalu.

Zuraida (kanan) bersama Azmin ketika meninjau Blok F Pangsapuri Keramat Permai yang terjejas akibat struktur bangunan retak sejak Jumaat lalu.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datuk Mohd Azizi Mohd Zain; EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib.

Mengulas berhubung keretakan serius yang berlaku di Blok F Pangsapuri Keramat Permai, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata pihaknya akan melakukan bancian di seluruh pangsapuri berkenaan.

Katanya, pihaknya akan mengarahkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk melaksanakan bancian itu bagi mengumpul data penduduk di kawasan pangsapuri terbabit selain mengenal pasti

“Kita akan kaji dan lihat bancian di semua 12 blok pangsapuri ini untuk mengenal pasti dan memisahkan antara pemilik serta penyewa. Data ini penting untuk jangka masa panjang,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda