Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Laporan Siasatan Pangsapuri Retak Diumum 2 Mei – Azmin

By 29 April 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang

GOMBAK, 29 Apr (Malaysiaaktif) – Siasatan punca keretakan struktur bangunan Blok F Pangsapuri Keramat Permai akan siap dalam tempoh dua hari lagi dan dijangka diumumkan pada dua Mei ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata siasatan oleh agensi dan juru perunding profesional yang dilantik akan siap pada satu Mei dan diserahkan kepada kerajaan Selangor.

“Semua jabatan dan agensi akan merumus dan mengemukakan pandangan mereka kepada kerajaan negeri Selangor untuk tindakan selanjutnya.

“Ujian terhadap kedudukan dan pergerakan tanah telah dilakukan. Dalam tempoh tiga hari ini tidak ada pergerakan tanah atau bangunan yang ketara, bagaimana pun pemantauan masih diteruskan,” katanya.

Menurut Azmin yang merupakan Ahli Parlimen Gombak, keselamatan penduduk perlu menjadi keutamaan dan mahu siasatan terperinci dijalankan.

“Sekiranya siasatan mendapati struktur bangunan selamat didiami, maka dijangka sebelum bulan Ramadhan pemilik dan penduduk akan kembali ke kediaman mereka.

“Namun jika sebaliknya, saya akan berbincang dengan kerajaan negeri dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk langkah-langkah yang perlu diambil.

“Begitu juga sekiranya bangunan selamat tetapi perlu dibaiki, penduduk perlu mengosongkannya untuk sementara waktu kerana kerja-kerja tersebut mengambil masa yang lama,” jelasnya.

Tambah Azmin, PKNS telah bersetuju untuk menanggung kos pembaikan bangunan dan unit-unit terbabit dan penduduk akan ditempatkan di kediaman yang akan dikenal pasti nanti.

“Sewaan juga akan ditanggung oleh PKNS untuk tempoh kerja-kerja pembaikan. Kita tidak mahu penduduk dibebankan dengan masalah kewangan akibat masalah struktur bangunan ini.

“Saya juga akan menyumbangkan RM500 melalui peruntukan Ahli Parlimen Gombak kepada setiap keluarga yang mendiami pangsapuri itu samada pemilik atau penyewa. Begitu juga kerajaan negeri yang sedang menimbangkan bantuan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas meninjau keretakan struktur bangunan Blok F Pangsapuri Keramat Permai, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datuk Mohd Azizi Mohd Zain; EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib.

Sebelum itu, Mohamed Azmin yang tiba jam 12. 20 di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan MPAJ AU2A untuk menyantuni 84 mangsa daripada 24 keluarga, termasuk dua Orang Kurang Upaya (OKU).

Lebih 200 penghuni Blok F Pangsapuri Keramat Permai, Hulu Kelang dipindahkan susulan berlaku keretakan struktur bangunan tersebut, Jumaat lepas.

Mereka dipindahkan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat sebelum ke Dewan MPAJ AU2, semalam.

-NAZ

Tinggalkan komen anda