Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Pembangunan Sandakan Dari Segenap Sektor

By 27 April 2019Tiada komen5 minit bacaan
Laporan/Foto: Idris Sani Saberun & Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

SANDAKAN, 27 Apr (Malaysiaaktif) – Selepas bertahun mengunjungi bandar ini dengan menyelusuri laluan darat yang meletihkan, dan mengambil masa 7 jam perjalanan daripada Bandaraya Kota Kinabalu, perubahan terhadap kemajuan Sandakan lebih jelas dan menarik dilihat menerusi pemandangan udara.

Mendarat di Lapangan Terbang Sandakan dan melihat sendiri perubahan infrastruktur yang ada padanya, pastinya memberi lebih keselesaan kepada pengunjung apabila bangunan lapangan terbang yang dahulu tiada penghawa dingin dengan rekaan tahun 80an kini telah berwajah baharu dengan rekaan yang lebih moden, selesa dan mesra pengguna sejak 2018.

Berbual dengan ahli Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Chang Shak Hung @ Bryan nampaknya kami bertemu dengan orang yang tepat kerana pengetahuannya mengenai bandar ini sangat luas ditambahkan lagi dia merupakan anak jati bandar ini.

Bryan ketika ditemui pemberita

Bryan ketika ditemui pemberita

Menurutnya, sebagai salah seorang Ahli Majlis MPS, adalah menjadi tanggungjawabnya dalam memartabatkan nama Sandakan di persada antarabangsa.

“Peluang yang diberikan dan amanah yang dipertanggungjawabkan sebagai seorang Ahli Majlis MPS, haruslah dimanfaatkan dengan sepenuhnya.

“Melalui beberapa jawatankuasa yang disandang, mendapatkan input semasa mesyuarat MPS dan kemudian mengadaptasikan untuk diimplimentasi kepada penduduk Sandakan, merupakan satu tanggungjawab berat yang harus dipikul.

“Namun cabaran-cabaran sedemikian tidak menjadi beban yang berat memandangkan kewibawaan Presiden MPS, Datuk Peter Hii dalam mengurus pentadbiran majlis, mendapat kerjasama penuh daripada Ahli-ahli Majlis dan pegawai serta kakitangan MPS dalam membangunkan Sandakan,” ujarnya.

Sandakan yang meliputi keluasan 2,266 km persegi, mempunyai kepadatan penduduk seramai 409,056 (tahun 2010) dan sudah pasti angka tersebut akan meningkat setelah data bancian penduduk dikeluarkan untuk tahun 2020.

Pelancong dapat menikmati pemandang indah bandar Sandakan ketika bercuti.

Pelancong dapat menikmati pemandang indah bandar Sandakan ketika bercuti.

Menurut sumber Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia, bilangan penduduk di Sandakan pada tahun 2000 adalah seramai 368,916 dan meningkat sebanyak satu peratus pada tahun 2010.

“Daerah ini yang sentiasa menerima pengunjung dari dalam dan luar negara amat sinonim kepada pelacong sebagai salah satu destinasi makanan laut yang popular dengan harga yang murah dan berpatutan.

“Setiap tahun, pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) menganjurkan Festival Sandakan dan tidak terkecuali pada tahun ini, ia dijangka akan dilancarkan pada bulan Jun nanti.

“Penganjuran pelbagai acara dan program yang disematkan di dalam Festival Sandakan, amat berjaya sekali dalam menjana pendapatan penduduk dan pada masa yang sama, telah memperkenalkan Sandakan di mata dunia,” katanya.

Tambahnya, sungguhpun terdapat kekangan dari segi ekonomi global sepanjang tahun 2019, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berbuat sesuatu, bak pepatah “ukur baju di badan sendiri”, semampu mana yang dapat dilakukan, di situlah kami sebagai Ahli Majlis MPS berusaha untuk membantu.

Pemandangan bandar Sandakan

Pemandangan bandar Sandakan

“Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan merupakan sektor terpenting di Sandakan. Dengan keluasan sebanyak 1.5 juta hektar penanaman kelapa sawit serta pengeksportan minyak kelapa sawit yang tinggi di Sabah, namun kebelakangan ini ramai anak-anak muda tidak berminat untuk berkecimpung di dalam sektor tersebut.

“Ramai yang memilih untuk bekerja di pejabat dan tidak dapat dinafikan, hanya terdapat segelintir sahaja yang berminat untuk bekerja di dalam sektor-sektor pembuatan yang melibatkan kerja-kerja teknikal.

“Kerajaan telahpun menyediakan peruntukan yang banyak untuk mendirikan pusat-pusat latihan teknikal seperti Pusat Giat MARA, Institut Latihan Perindustrian (ILP), National Institute of Safety and Health (NIOSH) serta mendirikan hub pendidikan di Batu 10 untuk melatih anak-anak muda tempatan supaya lebih ramai pekerja kompeten dapat dilahirkan untuk kegunaan pelbagai sektor di negeri ini.

“Sandakan kini sedang membangun dalam pelbagai sektor, memerlukan ramai pekerja mahir seperti dalam pertanian, perhutanan, pembuatan, pembinaan, kerja-kerja pertukangan, elektrikal, operator loji dan mesin serta kerja-kerja mekanikal,”tambahnya lagi.

Kata Bryan, bagi aspek kesihatan penduduk, kerajaan sentiasa memainkan peranan dalam menyediakan kemudahan perubatan dan kesihatan. Di Sandakan, terdapat satu Hospital Pakar, tujuh buah Klinik Kesihatan, lapan buah Klinik Desa dan sebuah Klinik Kesihatan Ibu dan Anak untuk kemudahan penduduk.

Lapangan Terbang Sandakan yang luas dan selesa.

Lapangan Terbang Sandakan yang luas dan selesa.

“Masalah seperti peningkatan kadar kes denggi di daerah ini menjadi perhatian Ahli Majlis MPS untuk turut memberi kerjasama dengan Pejabat Kesihatan Sandakan dengan membantu mengadakan gotong-royong setiap minggu, selain daripada itu usaha ini turut mendapat perhatian pihak pejabat ADUN melalui Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) bersama-sama dengan komuniti setempat juga turut sama-sama membantu untuk menjayakan usaha ini.

Selain itu, pihak Majlis Perbandaran Sandakan turut merancang untuk melaksanakan program bersepadu Ops Kutu Sampah yang mana ia akan melibatkan pelbagai agensi bagi memantau tahap kebersihan di Sandakan.

Cara implimentasi adalah dengan mengeluarkan kompaun atau melakukan kerja sosial kepada pesalah Kutu Sampah dan melalui cara tersebut diharap ia dapat mendidik penduduk sekitar untuk bersama-sama menjaga kebersihan di Sandakan supaya ia tidak dicemari dengan sampah-sarap.

Bagi menjayakan usaha ini pihak MPS akan menyediakan tong-tong sampah yang mencukupi dan mengindahkan persekitaran dengan tanaman pokok-pokok bunga yang menarik.

Mengulas berkenaan dengan peranan belia dalam aspek pembangunan Sandakan, beliau berpendapat adalah menjadi tanggungjawab semua pihak terutama golongan belia untuk menjaga khazanah pembangunan negeri ini supaya ia dapat terus membangun dan dinikmati oleh generasi seterusnya.

Kemudahan yang telah di naik taraf dapat dilihat di dalam Lapangan Terbang Sandakan

Kemudahan yang telah di naik taraf dapat dilihat di dalam Lapangan Terbang Sandakan

Memang menjadi lumrah akan ada halangan dan rintangan namun sekiranya kita cekal dan tabah untuk menghadapinya, nescaya kita dapat atasi permasalahan ini dan sekaligus merancang dan mengambil inisiatif untuk membangunkan Sandakan khususnya dan Malaysia amnya.

“Belia bukan lagi pemimpin masa akan datang seperti yang selalu kita dengar, belia masa kini berada dalam era baru yang telah sama-sama menyumbang idea dalam pelbagai aspek pembangunan negara.

“Buktinya kita sudah pun ada ramai pemimpin belia seperti di Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang kini menjadi tonggak pentadbiran negara,”kata Bryan.

Seorang ahli perniagaan, Taren Sunil, berpendapat bahawa beliau tidak menghadapi sebarang masalah walaupun beliau daripada golongan minoriti yang menjalankan perniagaan di Sandakan.

“Kita dapat lihat peniaga yang mencari rezeki di sini terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum, hanya lagi kita perlu bijak meraih peluang dan cuba untuk menjayakannya.

Taren Sunil

Taren Sunil

“Setakat ini dengan penambahan jumlah kekerapan penerbangan dan kemudahan terminal lapangan terbang yang baik ia mampu meningkatkan lagi bilangan pelancong ke sini, dan kemasukan pelancong akan dapat membantu merancakkan ekonomi Sandakan.

Walau bagaimanapun dalam perniagaan ini pasti ada jua cabarannya, masalah yang sering dihadapi sebagai peniaga ialah kesukaran untuk mendapatkan pinjaman perniagaan atau bantuan kewangan daripada bank.

“Kemudahan pinjaman ini sebenarnya banyak membantu para peniaga untuk menjalankan perniagaan mereka.

“Dengan iklim perniagaan yang lembab pada masa kini menyebabkan prestasi perniagaan mengalami kemerosotan dan ia memberi kesan kepada kemudahan pinjaman.

“Senario sebegini sebenarnya amat serius dan diharap pihak kerajaan melalui Bank Negara perlu mempelbagaikan solusi untuk membantu para peniaga dalam mengatasi masalah ini,”jelas beliau.

EM

Tinggalkan komen anda