Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Perluaskan Nasihat Undang-Undang Untuk Masyarakat Luar Bandar – Shafie

By 2 April 2019Tiada komen4 minit bacaan
Laporan/foto: Zuraidah Ahmad/Jeffren Malaning, Merusin Minuddin/Shahvian Mohd Razali (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 2 Apr (Malaysiaaktif) – Persatuan Undang-Undang Sabah atau Sabah Law Society (SLS) serta para pengamal perundangan disaran memperluas dan memperhebat khidmat nasihat undang-undang kepada masyarakat di luar bandar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata langkah tersebut penting untuk menangani isu kekurangan akses kepada keadilan (access to justice) dalam kalangan masyarakat kurang mampu di bandar serta di luar bandar yang berdepan dengan pertikaian.

Shafie ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.

Shafie ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.

“Kekurangan akses kepada keadilan adalah isu besar di seluruh dunia, terutama di negara-negara membangun yang menimbulkan isu sosial, ekonomi dan kemiskinan.

“Di Sabah, kita dapat melihatnya berlaku kepada orang-orang miskin di kawasan luar bandar dan rakyat biasa di kawasan bandar yang mungkin mempunyai pertikaian keluarga, pertikaian atas hutang, pertikaian terhadap harta benda.

“Bagi golongan ini, mereka tidak mampu membayar yuran peguam atau mungkin tidak tahu bagaimana atau ke mana mendapatkan nasihat undang-undang yang tepat,” ujarnya.

Tun Juhar ketika meyempurnakan lafaz perasmian.

Tun Juhar ketika meyempurnakan lafaz perasmian.

Tambahnya, isu berkenaan sangat relevan dengan kehidupan harian masyarakat yang miskin di bandar serta luar bandar yang mungkin berdepan dengan masalah perundangan.

“Sebagai contoh, masalah yang selalu menjadi pertikaian adalah hak terhadap tanah dan mereka tidak tahu bagaimana untuk menguruskan pertikaian berkenaan, sedangkan kehidupan mereka hanya bergantung kepada tanah.

“Tanpa nasihat undang-undang yang betul, bayangkanlah bagaimana mereka dan keluarga mereka akan terjejas dengan teruk,” katanya di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, pada Isnin.

Majlis perasmian kompleks berkenaan disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Richard (kiri) menunjukkan 'Coffee Table Book' kepada Tun Juhar dan Shafie (tengah).

Richard (kiri) menunjukkan ‘Coffee Table Book’ kepada Tun Juhar dan Shafie (tengah).

Hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Hal Ehwal Parlimen), Datuk Liew Vui Keong; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri Panglima David Wong Dak Wah; Presiden Mahkamah Rayuan Malaysia, Tan Sri Dato’ Sri Ahmad Maarop dan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Mengenai kompleks berkenaan, beliau berkata Kerajaan Sabah mengucapkan syabas kepada Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) selaku agen pelaksana Kerajaan Persekutuan yang berjaya melaksanakan amanah yang dipertanggungjawab bagi memastikan pelaksanaan pembinaan projek bangunan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Jelas beliau, pembinaan kompleks tersebut adalah sejajar dengan pembangunan yang sedang pesat membangun di bandar raya Kota Kinabalu dalam menyambut agenda pembangunan negara yang perlu mempertingkatkan prasarana fizikal badan kehakiman.

REPLIKA...Tun Juhar (tengah) melihat replika bangunan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

REPLIKA…Tun Juhar (tengah) melihat replika bangunan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Menurut Shafie, bangunan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu telah dibina di atas tanah seluas 6.25 ekar dengan kos RM148 juta.

Projek pembinaannya dimulakan pada 22 Julai 2014 dan telah diserahkan oleh pihak JKR kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) selaku wakil pelanggan pada 9 Ogos 2018 seterusnya kepada Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia selaku wakil pengguna (End User).

Bangunan setinggi enam tingkat itu dilengkapi 16 bilik bicara yang menempatkan sebuah Mahkamah Persekutuan, empat Mahkamah Tinggi, enam Mahkamah Sesyen, lima Mahkamah Majistret serta pelbagai bilik sokongan bagi menjamin keselesaan pihak yang berurusan dengan Mahkamah demi mendapatkan keadilan.

Tun Juhar (tiga dari kanan) diberi penerangan ringkas ketika melawat bilik bicara terbuka.

Tun Juhar (tiga dari kanan) diberi penerangan ringkas ketika melawat bilik bicara terbuka.

Selain itu, ulas beliau, bangunan berkenaan mempunyai kelengkapan teknologi Integrated Court System (ICS) yang memantapkan penggunaan Court Recording and Transcribing System (CRT), Sistem Pengurusan Kes (CMS), Sistem Sidang Video (Video Conferencing System), Sistem e-Review dan Sistem e-Court Finance (ECF) yang mampu mengurangkan birokrasi dan memudahkan lagi segala urusan kerja, pengurusan kes dan perbicaraan.

“Pembangunan serta kecanggihan terkini yang terdapat di kompleks ini adalah ilham dan hasil usaha yang diterajui sendiri oleh Yang Amat Arif Tan Sri Datuk Seri Panglima Richard Malanjum, Ketua Hakim Negara.

Shafie (kiri) mengatakan sesuatu kepada Tun Juhar ketika melihat pameran.

Shafie (kiri) mengatakan sesuatu kepada Tun Juhar ketika melihat pameran.

“Beliau begitu prihatin dan sangat menekankan kemajuan berterusan dan terkehadapan (more advance development) bukan sahaja dalam aspek insaniah malahan infrastruktur prasarana yang berhubung kait dengan mahkamah.

“Kita berharap kewujudan dan kepelbagaian kemudahan prasarana terkini yang telah dibina ini akan meningkatkan lagi komitmen serta semangat bekerja semua pegawai dan kakitangan Mahkamah Kota Kinabalu,” katanya lagi.

Tun Juhar (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama seluruh warga perundangan.

Tun Juhar (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama seluruh warga perundangan.

Beliau turut berharap perkhidmatan yang disalurkan akan bertahap professional, cekap dan efisien sejajar dengan bangunan dan kemudahan infrastruktur bertahap moden yang telah dibangunkan.

EM

Tinggalkan komen anda