Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePerak

Perluaskan Sketsa Rukun Negara di Peringkat NGO

By 29 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Pelapor/foto: Mohd Fauzi Rosli (Taiping)

TAPING, 29 Apr (Malaysiaaktif) – Pertandingan Sketsa Rukun Negara anjuran Jabatan Penerangan Malaysia perlu diperluaskan penyertaannya kepada semua lapisan masyarakat selari dengan prinsip era Malaysia Baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mencadangkan pertandingan ini tidak seharusnya ditumpukan kepada pelajar-pelajar sekolah Kelab Malaysiaku sahaja tetapi dibuka juga kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara.

“Difahamkan program ini saban tahun dijalankan, dan kita buat pembaharuan sedikit iaitu sketsa yang melibatkan penyertaannya daripada NGO-NGO yang terdiri daripada pelbagai lapisan kaum dan umur.

“Dengan penglibatan semua pihak, kelangsungan pemahaman prinsip Rukun Negara dapat dikembangkan penghayatannya oleh setiap masyarakat.

“Pihak kerajaan negeri sentiasa menyokong program-program yang dianjurkan Jabatan Penerangan dalam usaha meningkatkan kecintaan dan semangat kenegaraan terhadap rakyat di negeri ini,” katanya ketika merasmikan Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Negeri Perak 2019, di sini baru-baru ini.

Hasnul (tengah) melepaskan burung merpati sebagai simbolik perasmian.

Hasnul (tengah) melepaskan burung merpati sebagai simbolik perasmian.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perak, Haji Mohd Taib Ubah berkata program kali ini mendapat penyertaan daripada 64 buah sekolah Kelab Malaysiaku di seluruh negeri ini.

“Daripada 64 sekolah ini, kita jalankan saringan di Peringkat Daerah dalam tempoh sebulan dan 11 sekolah telah terpilih untuk mempersembahkan sketsa pada peringkat negeri,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buyong Adil dari Daerah Batang Padang telah dinobatkan sebagai johan pertandingan dengan membawa pulang pakej pelancongan bernilai RM7,000, wang tunai RM2,000, plak dan sijil.

Tempat kedua dimenangi oleh SMK Kg. Pasir Puteh mewakili Daerah Kinta dan tempat ketiga jatuh kepada SMK Simpang Beluru dari Kuala Kangsar dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,500 dan RM1,000 berserta plak dan sijil.

-SH

Tinggalkan komen anda