Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Projek LSS Mercu Tanda Bukit Selambau

By 1 April 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Fauziah Abd Wahab/Zatul Iffah Wahab (Kuala Muda)

BUKIT SELAMBAU, 1 Apr (Malaysiaaktif) – Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus komited dalam usaha menyalurkan tenaga mesra alam bagi keperluan negara dan kesejahteraan rakyat, dengan membangunkan satu lagi projek solar berskala besar (LSS), di sini.

Projek bernilai RM180 juta itu melibatkan pemasangan 134,880 panel solar fotovoltaik di tapak projek seluas 50 hektar, di Bukit Selambau, yang akan dibangunkan oleh TNB Bukit Selambau Solar Sdn. Bhd, anak syarikat milik penuh TNB Renewables Sdn. Bhd.

Mukhriz (tengah) beramah mesra dengan orang ramai.

Mukhriz (tengah) beramah mesra dengan orang ramai.

Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moogie, berkata projek ini bakal memberi manfaat kepada penduduk sekitarnya melalui peluang pekerjaan ketika projek dibangunkan, di samping aktiviti lain yang menyokong  kerja-kerja di LSS.

“Ia bukan sahaja bakal menjadi mercu tanda bagi pekan Bukit Selambau, bahkan diyakini akan memberi kesan limpahan terharap sosioekonomi rakyat di kawasan berhampiran.

“Projek ini dijangka siap dalam tempoh 24 bulan dengan tarikh sasaran operasi komersial adalah pada 31 Disember 2020, dan bakal dibangunkan oleh pasukan sama yang berpengalaman membangunkan LSS terbesar pertama negara di Sepang,” katanya yang ditemui pada program pecah tanah projek tersebut, di sini semalam.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, berkata kerajaan negeri berharap agar TNB mengemukakan bidaan lagi bagi menambah kapasiti projek LSS di Bukit Selambau yang boleh mencapai penjanaan sehingga 100MW.

“Ia adalah sejajar dasar kerajaan negeri yang menggalakkan pengembangan penggunaan tenaga suria ini sebagai sumber penjanaan, dan dalam aspek teknologi, ia merupakan penjanaan tenaga hijau yang datang dari sumber semulajadi, yang sekali gus bersifat mesra alam.

“Kerajaan negeri mengharapkan agar projek seumpama ini dapat menyuntik kemajuan sosioekonomi penduduk setempat. Sebagai pekan kecil dalam daerah Kuala Muda, kita berharap agar Bukit Selambau mendapat peluang untuk berkembang maju seiring dengan tempat-tempat lain di negeri ini,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut.

Sebelum ini, Kedah turut mempunyai projek solar seperti di Kampung Bendang Perang, Pokok Sena. Projek Bukit Selambau ini merupakan yang terbesar iaitu kira-kira lapan kali ganda dari segi saiz dan jumlah panel solar.

-SH

Tinggalkan komen anda