Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

PTSS Beri Peluang Belia Orang Asli Ikuti Kursus Keusahawanan

By 1 April 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan/foto: Mahazir Abu Hassan/Zainaudin Ab Hamid (Baling)

BALING, 1 Apr (Malaysiaaktif) – Seramai 43 orang belia dan beliawanis masyarakat orang asli diberi peluang untuk mengikuti kelas keusahawan bersempena Program Jalinan Kasih bersama masyarakat orang asli anjuran bersama Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS), Askar WATANIAH dan Sukarelawan YES Politeknik Tuanku Syed Sirajudin (PTSS).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Kedah Datuk Dr Ismail Salleh berkata inisiatif Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Perlis yang menganjurkan program seumpama ini harus dipuji kerana ianya memberikan peluang kepada anak-anak luar bandar khususnya masyarakat orang asli untuk menambah baik kemahiran serta kebolehan mereka secara positif.

“Saya percaya program sebegini memberi ruang dan galakan kepada penduduk untuk terus berkecimpung dalam bidang perniagaan melalui bengkel dan kursus kemahiran yang dilaksanakan,” katanya ketika merasmikan majlis penutup Program Jalinan Kasih di Perkampungan Orang Asli Kampung Lubuk Legong, di sini semalam.

Ismail turut menambah kerajaan negeri juga sentiasa berusaha untuk terus meningkatkan penyertaan masyarakat luar bandar khususnya dalam program keusahawanan dan perniagaan.

Ismail ketika berucap merasmikan majlis.

Ismail ketika berucap merasmikan majlis.

“Kita mahu melihat penduduk luar bandar khususnya masyarakat orang asli juga menyerlah dalam bidang ini. Dasar kerajaan sekarang mahukan jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar dapat disamakan dari segi ilmu pendidikan serta kemahiran dan saya mahu masyarakat orang asli merebut peluang ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu Pengarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Perlis Abdul Malek Hassan berkata program ini untuk memupuk semangat patriotisme pelajar serta menunjukkan keperihatinan terhadap kepentingan perkhidmatan kepada komuniti di samping memberi impak ekonomi kepada pembangunan masyarakat orang asli.

“Kita berusaha untuk menggalakkan orang asli menjalankan perniagaan sendiri dan memasarkan barangan mereka secara dalam talian dengan pemantauan dan membantu mereka menyediakan prasarana untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

“Sebagai tanda penghargaan kita juga akan memberi keutamaan kepada anak-anak masyarakat orang asli lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat memasuki Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Perlis dengan kelayakan minima supaya dapat meningkatkan pendidikan dalam kalangan anak-anak kampung ini,” jelasnya.

Sementara itu, tok batin masyarakat orang asli Kampung Lubuk Legong Razali Kulim, berkata program ini amat baik kerana pihak politeknik memberi ruang dan peluang kepada belia dan beliawanis masyarakat orang asli untuk mengikuti kursus kemahiran dalam bidang yang disediakan.

“Saya mahukan bimbingan berterusan daripada pihak politeknik sehingga masyarakat orang asli berjaya, sekaligus jurang perbezaan orang asli dan masyarakat lain dapat dikurangkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis selesai.

Program julung-julung kali diadakan ini adalah bertujuan mendekatkan diri pelajar politeknik dengan masyarakat setempat di samping memberi impak ekonomi kepada pembangunan masyarakat orang asli.

-SH

Tinggalkan komen anda