Skip to main content
Berita TempatanHomeJohor

Banyak Kerosakan di Klinik Kesihatan Perlu Perhatian Segera

By 12 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Najib Mohaini (Johor Bahru)

ISKANDAR PUTERI, 12 Mei (Malaysiaaktif) – Kualiti perkhidmatan di beberapa buah klinik kesihatan di kawasan ini mampu dipertingkatkan jika kelemahan dari aspek kemudahan klinik dapat diselesaikan segera.

Menurut Pengerusi Jawatakuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Dzulkefly Ahmad, berkata terdapat banyak kekurangan dari segi infrastruktur pada pusat-pusat kesihatan ini yang menggangu kelancaran petugas melakukan pemeriksaan atau pesakit mendapatkan rawatan.

“Contohnya di Klinik Kesihatan Taman Universiti tadi kekurangan peralatan komputer untuk pendaftaran pesakit menyebabkan kerja-kerja tersebut memakan masa yang panjang sehingga doktor terpaksa menunggu pesakit selesai mendaftar sebelum dapat berjumpa dengan mereka,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Kota Iskandar menambah, antara masalah utama lain adalah kekurangan bilangan kerusi untuk pesakit menunggu terutamanya di Klinik Kesihatan Taman Universiti, Klinik Kesihatan Gelang Patah dan Klinik Kesihatan Kangkar Pulai.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad ketika melakukan lawatan ke Klinik Kesihatan Paya Mengkuang di Gelang Patah sempena Hari Jururawat Sedunia hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad ketika melakukan lawatan ke Klinik Kesihatan Paya Mengkuang di Gelang Patah sempena Hari Jururawat Sedunia hari ini.

“Saya lihat tadi ramai yang menunggu sambil berdiri dan mendukung bayi yang kecil ketika menanti giliran pemeriksaan memandangkan hari Ahad seperti ini dikhususkan untuk rawatan kanak-kanak,” jelasnya lagi.

Namun, terdapat juga permasalahan yang dihadapi oleh pusat-pusat kesihatan ini mampu diselesaikan dengan segera.

Dzulkefly mendapati masalah tempat meletak kenderaan di Klinik Kesihatan Kangkar Pulai mampu diselesaikan dengan segera menerusi rundingan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) yang memiliki tapak kuarters bersebelahan dengan klinik tersebut.

“Kita sedang mengusahakan untuk mengubahsuai tapak kuarters JKR tersebut kepada tempat meletak kenderaan sementara yang boleh digunakan oleh pelawat klinik tersebut,” jelasnya.

Dzulkefly Ahmad menghargai jasa dan pengorbanan jururawat ketika lawatan kerjanya di sekitar klinik kesihatan dalam DUN Kota Iskandar.

Dzulkefly Ahmad menghargai jasa dan pengorbanan jururawat ketika lawatan kerjanya di sekitar klinik kesihatan dalam DUN Kota Iskandar.

Klinik Kesihatan Gelang Patah juga memerlukan perhatian dan bantuan segera apabila sembilan buah unit penghawa dinginnya sudah tidak berfungsi sejak enam bulan yang lalu.

“Suasananya sangat menyedihkan, seperti memasuki sebuah sauna semulajadi dan saya sendiri berpeluh ketika mengadakan lawatan di sana,” ujarnya.

“Saya yakin perkara-perkara yang berbangkit ini mampu diusahakan segera oleh Pusat Khidmat DUN Kota Iskandar dengan mendapatkan bantuan agensi-agensi kerajaan atau menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) dari mana-mana syarikat memandangkan kerosakan yang berlaku tidak memerlukan kos yang banyak untuk dibaiki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa melakukan lawatan kerja sempena Hari Jururawat Sedunia di Klinik Kesihatan Kampung Paya Mengkuang di sini, hari ini.

EM
Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda