Skip to main content
Berita TempatanHomeJohor

Jelajah Pertama MB Johor Bersama Asnaf

By 12 Mei 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Norsaedah Haron/Abassalimi/Mohamad Mohd Najib Mohaini (Kluang)

KLUANG, 12 Mei (Malaysiaaktif) – Seramai 35 orang asnaf dari Felda Kahang Barat dan Kampung Sri Tambak, diraikan bersempena dengan Program Sepakat Ihya’ Ramadan Harapanku @Komuniti 2019.

Program merupakan anjuran Jabatan Penerangan Negeri Johor dengan kerjasama Pejabat Daerah Kluang dan Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Ucapan oleh Datuk Dr. Sahruddin Jamal, Menteri Besar Johor

Ucapan oleh Datuk Dr. Sahruddin Jamal, Menteri Besar Johor

Diadakan pada 9 Mei lalu di Masjid Felda Kahang Barat, dimulakan dengan perucapan awal Ramadan oleh Pegawai Penerangan Daerah Kluang, Abdul Razak Mohamed, kemudian diteruskan dengan ucapan oleh Pengarah Penerangan Negeri Johor, Zainudin Ismail dan penyampaian sumbangan kepada asnaf yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali, juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Paloh.

Pengarah Penerangan Negeri Johor, Zainudin Ismail dalam ucapannya berkata bahawa semangat masyarakat yang menghormati satu sama lain, bertolak ansur dan bersatu hati perlu diperkasakan dalam konteks mendepani cabaran baharu masyarakat majmuk yang ada di Malaysia ini.

Sebahagian yang hadir dalam program Sepakat Ihya' Ramadan Harapanku @Komuniti 2019

Sebahagian yang hadir dalam program Sepakat Ihya’ Ramadan Harapanku @Komuniti 2019

“Dengan peralihan media dan cabaran media baharu, kita melihat pelbagai unsur yang mengancam perpaduan negara, padahal media baharu seharusnya dijadikan senjata untuk kita lebih memahami dan memupuk semangat perpaduan,” katanya.

Beliau juga menyeru hadirin supaya dapat mengamalkan muafakat dalam kehidupan seharian yang mana ia menjadi kunci keamanan dan kemakmuran kepada negara dan secara tidak langsung ianya memberi kesan kepada politik dan ekonomi negara.

Sheikh Umar yang sempat ditemubual sebelum ketibaan Menteri Besar Johor berkata, beliau berharap program seperti ini dapat mengukuhkan lagi persaudaraan sesama Islam, khususnya dalam bulan Ramadan yang mulia.

Sheikh Umar Bagharib menyampaikan sumbangan kepada asnaf

Sheikh Umar Bagharib menyampaikan sumbangan kepada asnaf

“Kunjungan Menteri Besar pada hari ini merupakan kali pertama beliau hadir ke Felda Kahang Barat dalam siri jelajahnya ke seluruh daerah di negeri Johor sebagai salah satu usaha untuk menyantuni rakyat, selepas dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang baharu,” jelasnya.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal dalam ucapannya berkata, sebagai Menteri Besar Johor yang baharu, beliau akan cuba untuk memastikan semua program ke arah kebaikan dan kegamaan dipertingkatkan, agar agama dan kemajuan dapat seiring ke hadapan.

“Saya juga menyeru agar rakyat Johor dapat mempertingkatkan kerjasama serta saling bersatu hati bagi memastikan Johor dan Malaysia akan terus maju,” katanya.

Penduduk tempatan tidak melepaskan peluang bergambar bersama Menteri Besar Johor

Penduduk tempatan tidak melepaskan peluang bergambar bersama Menteri Besar Johor

Dalam program tersebut, beliau turut berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada asnaf.

Program yang diadakan bersempena dengan genap setahun pentadbiran kerajaan di bawah Pakatan Harapan, turut dihadiri oleh beberapa pemimpin daerah, termasuk ADUN Kawasan Mahkota, Md. Said Jonit dan Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu.

Genap setahun pentadbiran kerajaan di bawah Pakatan Harapan di Johor telah banyak perubahan yang telah dilakukan melalui dasar dan program pro-rakyat.

Tidak dinafikan terdapat banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan. Justeru itu, ruang dan usaha ke arah perubahan yang lebih baik perlu diberi kesempatan oleh rakyat Johor.

MB Johor tidak melepaskan peluang berbuka puasa bersama tetamu jemputan dalam Program Sepakat Ihya Ramadan @ Komuniti

MB Johor tidak melepaskan peluang berbuka puasa bersama tetamu jemputan dalam Program Sepakat Ihya Ramadan @Komuniti

Program ini juga antara program menyantuni rakyat di sekitar kawasan Paloh.

Turut diadakan, penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf dan sumbangan yang diterima adalah berupa barangan keperluan harian dan wang tunai daripada Jabatan Penerangan Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor.

EM

Tinggalkan komen anda