Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

BSMM Latih Sukarelawan Teknik Penyediaan Makanan

By 22 Mei 2019Tiada komen4 minit bacaan
Laporan/foto: Idris Sani Saberun/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 22 Mei (Malaysiaaktif) – Secara amnya, kebanyakan individu sama ada lelaki mahupun wanita mempunyai kebolehan untuk memasak apatah lagi di arus digital ini yang memudahkan kita untuk mempelajari teknik masakan melalui Internet.

Namun bila bercerita berkenaan teknik memasak untuk penyediaan makanan berskala besar, tidak semua orang memiliki kemahiran tersebut.

Kevin (kiri) memberi taklimat dan agihan pertugasan kepada setiap ketua kumpulan sebelum Program Dapur Ramadan bermula.

Kevin (kiri) memberi taklimat dan agihan pertugasan kepada setiap ketua kumpulan sebelum Program Dapur Ramadan bermula.

Atas dasar itu, Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Sabah (BSMM) menganjurkan Program Dapur Ramadan yang diadakan di Ibu Pejabat BSMM baru-baru ini untuk memberi pendedahan kepada para sukarelawan berkenaan teknik memasak dan penyediaan sajian dalam skala yang besar.

Bagi salah seorang sukarelawan BSMM, Marcella Hanson berpendapat bahawa penganjuran program ini amat baik sekali kerana ia memberi ilmu yang bermanfaat kepada ahli untuk bersedia bagi menyediakan makanan yang berkhasiat kepada mangsa di pusat-pusat pemindahan bencana.

Marcella Hanson

Marcella Hanson

“Program ini kami gunakan sebagai latihan persediaan agar semua sukarelawan tahu akan tugas masing-masing sekiranya khidmat mereka diperlukan.

“Menjadi sukarelawan ini memupuk minat kita untuk membantu selain menggunakan masa yang ada untuk kerja-kerja yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan juga orang lain.

Sukarelawan memastikan ayam yang telah siap dipotong dicuci dan dibersihkan secukupnya.

Sukarelawan memastikan ayam yang telah siap dipotong dicuci dan dibersihkan secukupnya.

“Selain daripada itu, bagi kami yang bukan beragama Islam, program ini turut mendidik kami untuk bertoleransi dan memahami erti menghormati rakan-rakan muslim di bulan Ramadan dan sama-sama membantu melakukan kerja-kerja amal,” jelas Marcella.

Sukarelawan yang berasal dari Penampang ini berharap agar akan ada ramai lagi belia untuk sama-sama menyertai badan sukarelawan agar ilmu kesukarelawan ini dapat diteruskan kepada generasi yang akan datang.

Kevin Lo

Kevin Lo

Bagi Penolong Pengarah Belia BSMM Negeri Sabah, Kevin Lo berkata, program itu merupakan aktiviti tahunan kesukarelawan belia BSMM bagi memberi latihan berkenaan dengan teknik memasak dan penyajian berdasarkan skala yang diperlukan selain ia turut memupuk semangat perpaduan, kerjasama dan mengukuhkan lagi hubungan silaturahim di antara para sukarelawan di negeri ini.

“Program ini turut memupuk dan memberi pendedahan kepada ahli BSMM untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Fairuz (tengah) mengetuai kumpulan bagi penyediaan Ayam Masak Kurma.

Fairuz (tengah) mengetuai kumpulan bagi penyediaan Ayam Masak Kurma.

“Pada tahun ini kita menerima penyertaan seramai 60 sukarelawan BSMM yang terdiri dari sukarelawan daerah Sipitang, Tambunan, Keningau, Penampang, Kota Kinabalu, Putatan, Pitas, Kota Belud, Tuaran dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Dan yang paling istimewanya pada tahun ini buat pertama kalinya BSMM mendapat kerjasama daripada Majlis Belia Sabah (MBS) berupa tenaga kerja seramai 50 orang selain geran aktiviti yang digunakan bagi membeli bahan makanan yang digunakan untuk program ini,” jelas Kevin.

Kumpulan yang ditugaskan untuk memasak nasi menggunakan periuk Al-Munif.

Kumpulan yang ditugaskan untuk memasak nasi menggunakan periuk Al-Munif.

Beliau yang juga Naib Presiden MBS berkata, cabaran yang utama pada program ini adalah dalam membuat anggaran berdasarkan bajet yang diterima dan menggunakannya secara optimum untuk disampaikan kepada golongan sasar.

“Pada kali ini kami menyediakan setiap pek mengandungi Nasi Minyak, Ayam Masak Kurma, Acar Sayur, Buah Tamar dan Bubur Kacang.

“Kami menyasarkan sebanyak 1,000 pek makanan disediakan untuk diserahkan kepada tujuh lokasi iaitu Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Hospital Queen Elizabeth 1, Hospital Queen Elizabeth 2, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, Rumah Amal Kasih Kingfisher, Rumah Sri Pritchard dan Rumah Anak Yatim Beringgis,” ujarmya.

Fairuz Mohd Jaidi

Fairuz Mohd Jaidi

Bagi Fairuz Mohd Jaidi, program Dapur Ramadan ini turut memberi pendedahan kepada sukarelawan untuk mengguna dan mengendali peralatan memasak dengan cekap mengikut masa yang telah ditetapkan.

“Pada kali ini kami berpeluang menggunakan Periuk Al-Munif iaitu periuk untuk memasak nasi yang berasal dari Arab Saudi.

“Di Arab Saudi, periuk ini digunakan untuk penyediaan makanan untuk jemaah Haji atau Umrah.

Kumpulan yang menyediakan bubur kacang.

Kumpulan yang menyediakan bubur kacang.

“Satu periuk Al-Munif ini boleh memasak nasi untuk keperluan 500 orang selama satu jam dengan menggunakan hanya satu tungku dapur gas.

“Disebabkan keistimewaan dan kemampuan periuk ini, pada tahun 2000 pihak BSMM Negeri Sabah telah membeli dua unit Periuk Al-Munif dengan harga RM12 ribu setiap satu sebagai aset bagi menghadapi situasi bencana.

Setiap masakan yang telah siap disediakan dibungkus dengan plastik bagi menjamin kebersihan.

Setiap masakan yang telah siap disediakan dibungkus dengan plastik bagi menjamin kebersihan.

“Setakat ini, periuk ini telah berkhidmat bersama BSMM hampir 19 tahun dan yang paling tidak boleh dilupakan, periuk ini turut berkhidmat semasa ‘OpsDaulat’ bagi penyediaan makanan untuk 3,000 orang petugas keselamatan di Felda Sahabat Lahad Datu.

“Berdasarkan kepada keperluan semasa, keperluan untuk menambah Periuk Al-Munif ini amat diperlukan sekiranya berlaku bencana skala besar dan di luar jangka,” kata Fairuz.

Sebahagian petugas sukarelawan Dapur Ramadan BSMM merakamkan gambar kenangan dihadapan bagunan Ibu Pejabat BSMM.

Sebahagian petugas sukarelawan Dapur Ramadan BSMM merakamkan gambar kenangan dihadapan bagunan Ibu Pejabat BSMM.

Beliau yang telah berkhidmat hampir 10 tahun sebagai sukarelawan BSMM, mengharapkan agar akan ada pihak NGO dan badan korporat untuk menyumbang bagi membolehkan pihak BSMM memiliki periuk Al-Munif ini sebagai tambahan aset agar pihak BSMM boleh memberi perkhidmatan dengan skala yang lebih besar lagi.

EM

Tinggalkan komen anda