Skip to main content
Berita TempatanHomePahangTrending

ECRL Bakal Rancak Aktiviti Pelabuhan Kuantan

By 15 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan

KUANTAN, 15 Mei (Malaysiaaktif) -Keputusan kerajaan Pakatan Harapan untuk meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bukan hanya memudahkan urusan pengangkutan, namun akan merancakkan aktiviti Pelabuhan Kuantan di sini.

Pengerusi Dewan Perniagaan Malaysia-China Pahang Datuk Andy Chiew Yoke Theng berkata jajaran ECRL yang menghubungkan Pelabuhan Kuantan dengan Pelabuhan Klang di Selangor akan menjadikan pelabuhan itu lebih aktif dalam pengangkutan kargo.

Apatah lagi, dua pelabuhan itu adalah pelabuhan utama negara yang mempunyai ‘target audience’ tersendiri selain kedudukan Pelabuhan Kuantan yang telah dinaiktaraf sebagai terminal laut dalam dan memperoleh kelulusan sebagai zon perdagangan bebas, katanya.

“Kedudukan Pelabuhan Kuantan juga tidak jauh dari Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) di Gebeng yang semakin berkembang. Selain syarikat pembuatan besi dan keluli Alliance Steel (M) Sdn Bhd, saya difahamkan ada syarikat tayar yang berminat untuk melabur di situ.

“Jadi, keputusan kerajaan meneruskan ECRL akan menjadikan dua pengangkutan utama iaitu pengangkutan darat dan laut berada di daerah ini dan menjadi tarikan kepada lebih ramai pelabur ke sini selain kos pengangkutan keretapi adalah lebih murah,” katanya kepada Bernama semasa dihubungi di sini, hari ini.

Projek ECRL sebelum ini digantung oleh kerajaan Pakatan harapan selepas mengamblih alih pentadbiran negara tahun lepas kerana kosnya yang tinggi, namun pada 12 April lalu, Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengesahkan projek itu akan diteruskan dengan jajaran baharu pada kos yang lebih murah.

Selain merancakkan pelaburan, Chiew berpandangan bahawa ECRL apabila siap kelak, akan meningkatkan imej Kuantan sebagai ibu negeri, khususnya Kota Sultan Ahmad Shah (KotaSAS) yang dirancang menjadi pusat pentadbiran Pahang pada masa akan datang.

“Pahang sudah mempunyai lapangan terbang dan pelabuhan sendiri, maka laluan keretapi akan melengkapkan rangkaian pengangkutan,” katanya.

Chiew menambah selain menguntungkan bidang perniagaan dan pengangkutan, ECRL juga akan membawa limpahan ekonomi kepada aspek lain seperti pelancongan yang seterusnya menambah pendapatan penduduk setempat.

Sementara itu, ahli perniagaan Yusri Yusof melihat bahawa lebih banyak peluang akan diberikan kepada rakyat tempatan dalam pelaksanaan ECRL dan oleh itu ia perlu dimanfaatkan oleh kontraktor, khususnya Bumiputera untuk menimba pengalaman dan ilmu baharu.

Yusri berkata baru-baru ini, beliau dimaklumkan bahawa kontraktor kelas G3 iaitu bernilai RM1 juta ke bawah dan G7 (RM10 juta ke atas) perlu berdaftar sebagai kontrator atau pembekal projek ECRL, jika berminat untuk terlibat sama.

“Ramai usahawan yang menaruh harapan tinggi ECRL akan terus dilaksanakan dan berjaya kerana begitu banyak manfaatnya. Bukan selalu peluang timbul untuk menyertai sebuah projek berimpak tinggi seperti ini, “ kata beliau.

Yusri yang juga Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang menyeru mana-mana kontraktor yang berkemampuan untuk merebut peluang itu supaya mereka dapat memajukan diri.

— BERNAMA / Siti Salwa Shaari

Tinggalkan komen anda