Skip to main content
Berita Sabah & LabuanLabuanMA

Amir Harap SKMM Tingkatkan Talian Komunikasi di Labuan

By 29 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus / Ramlen Salleh

LABUAN 29 Mei (Malaysiaaktif) – Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussien berharap Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dapat meningkatkan perkhidmatan talian komunikasi di Labuan setaraf bandar-bandar besar lain seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Amir berkata perhatian paling serius perlu diberi dalam hal tersebut memandangkan Labuan sebagai pulau bebas cukai, bank pesisir pantai, mempunyai 91 jabatan dan agensi kerajaan serta sedang meningkat naik dalam sektor pelancongan di samping keperluan penduduk Labuan itu sendiri.

“Kerajaan menerusi SKMM perlu memberikan perhatian serius terhadap keperluan kelajuan internet di Labuan yang telah menjadi Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984.

“Labuan juga harus diberi perhatian untuk menikmati dan merasai kelajuan internet seperti bandar-bandar besar dan menjadi Wilayah Persekutuan yang setaraf dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya,“ katanya menerusi satu kenyataan selepas menghadiri mesyuarat tersebut yang diadakan di pejabat SKMM di Cyberjaya, baru-baru ini.

Tambah Amir, mereka amat terkejut kerana tidak menyangka Pulau Labuan masih jauh ketinggalan dalam perkhidmatan talian komunikasi.

Amir (paling kanan) , Al - Ishsal (paling kiri), Rashid (dua dari kiri) bersama Pengurusan Tertinggi SKMM sedang mengadakan perbincangan

Amir (paling kanan), Al – Ishsal (paling kiri), Rashid (dua dari kiri) bersama Pengurusan Tertinggi SKMM sedang mengadakan perbincangan

Sehubungan itu, pihaknya bersama SKMM akan mengadakan mesyuarat susulan serta penubuhan jawatankuasa bertindak selepas Hari Raya Puasa ini.

“Ini adalah hasil mesyuarat susulan yang diadakan selepas pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo.

“Saya juga berharap keperluan pemasangan CCTV di kawasan bandar Labuan untuk keselamatan orang ramai termasuk pelancong turut diberi perhatian,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi SKMM Al – Ishsal Ishak dan pengurusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berjanji akan memberi perhatian serta menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan pada mesyuarat tersebut.

Turut hadir dalam perbincangan tersebut ialah Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon, Ketua Pegawai Pematuhan SKMM Zulkarnain Mohd Yasin dan Ketua Pegawai Pembanguan SKMM, Bawani Selvaratnam.

-EM

Tinggalkan komen anda