
Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah/ Mohd Fisol Abd Rahim (Seberang Perai Tengah)
PENANTI, 8 Mei (Malaysiaaktif) – Seperti tahun-tahun sebelum ini, Pusat Khidmat DUN Penanti telah mengadakan satu majlis khas penyampaian sumbangan sempena menyambut bulan Ramadhan Al Mubarak.
Sumbangan barang keperluan dapur antaranya beras, gula, tepung ini diberikan kepada golongan asnaf, warga emas dan ibu tunggal. Lebih 450 orang yang telah dikenalpasti layak menerima sumbangan hamper zakat kali ini
Majlis di rasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang; Tuan Amran Hazali. Manakala, acara simbolik penyampaian hamper zakat telah disempurnakan oleh ADUN Penanti Dr Norlela Ariffin.
Menurut Norlela, beliau amat berterima kasih atas keprihatinan Zakat Pulau Pinang kepada masyarakat Penanti. Selain sumbangan hamper yang disampaikan pada hari ini, pihak Zakat Pulau Pinang turut membiayai elaun anak-anak DUN Penanti di Kulim HiTech selama tiga tahun setengah, sehinggalah pelatih-pelatih tersebut mendapat pekerjaan berdasarkan kursus yang telah dipelajari.
Beliau juga berharap hubungan baik ini terus kekal demi kemajuan, kebajikan dan keselesaan masyarakat Penanti.
Menurut Encik Zainol bin Drany, salah seorang penerima hamper zakat kali ini, beliau bersyukur atas sumbangan ini yang sedikit sebanyak membantu persediaan beliau sekelurga menyambut bulan Ramadhan. Terima kasih juga atas keprihatinan puan Norlela dan pegawai di Pusat Khidmat DUN Penanti serta Zakat Pulau Pinang yang sering mengambil berat tentang kebajikan masyarakat setempat khususnya di Penanti katanya lagi.