
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 5 Mei (Malaysiaaktif) – Menteri Hal Ehwal Ekonomi (MEA) menyarankan agar guru-guru dan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) meneroka kegiatan yang boleh memberikan pendedahan awal kecelikan Artificial Intelligence (AI) kepada pelajar.
“AI dan teknologi-teknologi baru ini sebenarnya akan dapat membangunkan negara dan meningkatkan produktiviti kita.
“Sekiranya Malaysia ingin terus maju sebagai sebuah negara industri, kita tidak terlepas daripada tanggungjawab melahirkan anak-anak yang mendapat teknologi baru ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata negara Malaysia mampu bersaing dengan kuasa ekonomi dunia lain sekiranya rakyat mempunyai disiplin yang tinggi.
“Kita perlu bersaing dengan negara besar dunia dalam bidang ekonomi seperti China yang mempunyai rakyat yang berdisplin, saya yakin rakyat Malaysia juga mampu melaksanakannya.
“Guru-guru dan PIBG mempunyai tanggungjawab untuk mendidik dan membuat anjakan paradigma serta meneroka bidang baru seperti AI dan Revolusi Industri 4.0,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Kelulusan Peruntukan Prasarana dan Sumbangan Kemasyarakatan berjumlah RM3.5 juta di Hulu Kelang, semalam.
Turut hadir, Ketua Setiausaha MEA, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen; Orang Besar Daerah Gombak, Tan Sri Wan Mahmud Pa’Wan Teh dan Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim.
Mengulas lanjut, Azmin berharap prasarana dan infrastruktur pendidikan ditingkatkan bagi menjamin suasana pembelajaran lebih kondusif serta selesa.
“Warga pendidik memainkan peranan yang besar dalam membentuk jati diri anak watan dan memberi pencerahan kepada bangsa serta negara.
“Guru dan pendidik merupakan masyarakat yang melahirkan generasi ilmu dan menjadi tenaga penting membangunkan negara ini.
“Saya berharap sekolah-sekolah khasnya dalam parlimen Gombak dapat melahirkan insan berilmu tapi mempunyai keterampilan, kemahiran serta memiliki akhlak yang mulia,” katanya.
-NAZ