Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

DUN Sungai Tua Tubuhkan Pasukan ERT

By 5 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 5 Mei (Malaysiaaktif) – Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua mengambil langkah proaktif apabila mewujudkan Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) bagi membantu masyarakat yang dalam kecemasan akibat ditimpa bencana.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata perubahan cuaca yang tidak menentu mutakhir ini hingga mengundang bencana seperti banjir kilat, ribut petir dan tanah runtuh memerlukan tindakan segera menyelamat dilakukan.

“Kita tidak boleh hanya menyerahkan tugas menyelamat kepada pasukan Bomba sahaja kerana kejadian kecemasan dan bencana boleh menimpa tanpa diduga.

“Pengalaman ketika menghadapi bencana yang menimpa sebelum ini seperti di Gombak Utara, Paya Jaras dan Rawang memerlukan masyarakat untuk proaktif dan bersedia terhadap persekitaran mereka,” katanya.

Jelas Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, ERT merupakan inisiatif pihaknya bersama komuniti dan Kolej Teknologi Azmida untuk menubuhkan badan sukarela tersebut.

“Pasukan ini akan membantu pihak Bomba, Polis, Bulan Sabit Merah dan sebagainya ketika bencana dalam menyediakan bantuan awal atau menangani suasana trauma yang menimpa mangsa.

“Secara tidak langsung, ERT membantu kerajaan kawalan keselamatan terjamin dan mampu menangani bencana yang hadir secara tiba-tiba hingga menimbulkan suasana tidak terkawal,”

Beliau berkata demikian semasa berucap ketika Majlis Pelancaran ERT (Bomba Komuniti) di Laman Bougeinvillea, Kampung Sungai Kertas, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata seramai lebih 300 orang telah mendaftar sebagai ahli ERT perlu sentiasa bersedia menghulurkan bantuan serta menambah kemahiran mereka.

“Pasukan ini merupakan satu platform untuk menarik lebih ramai komuniti menyertainya dan bersedia di mana-mana sahaja.

“Melalui kemahiran dan ilmu menghadapi krisis serta bencana, kita akan menjadi satu masyarakat yang berguna ketika berdepan dengan situasi kecemasan,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda