
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian
LABUAN, 1 Mei (Malaysiaaktif) – Hari Belia Negara (HBN) yang disambut saban tahun adalah sebagai tanda penghargaan negara kepada golongan belia.
Menurut Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, pelbagai inisiatif pembangunan belia dilaksanakan pihak kerajaan untuk menghargai dan menyerlahkan potensi golongan belia.
“Dari tahun ke tahun kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak pernah gagal melaksanakan sambutan Hari Belia Negara yang disambut pada 15 Mei setiap tahun di peringkat kebangsaan.
“Kejayaan melaksanakan sambutan HBN ini menunjukkan bahawa kerajaan komited dan sentiasa meletakkan golongan belia sebagai aset penting negara.
“Golongan belia hari ini akan menentukan hala tuju negara pada negara pada masa akan datang,”katanya.

Rozman (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang Anugerah Perdana Belia Negara kategori individu
Katanya lagi, bersama-sama sambutan HBN juga dilaksanakan Expo Keusahawanan Belia atau dikenali sebagai ‘yBEX 2019’ ( YOUTH BUSINESS EXPO 2019) yang bermula 30 April dan akan tamat pada 2 Mei ini.
“Pelaksanaan yBEX 2019 adalah untuk memastikan anak-anak muda melibatkan diri dalam aktiviti keusahawanan dan seterusnya melahirkan belia yang mempunyai inovasi, kreativiti dan berdaya saing, sekaligus memangkin penjanaan ekonomi negara melalui keusahawanan.
“Expo ini menjadi “business one stop centre” dengan seluruh agensi-agensi yang menjadi pendukung kepada pembentukan perniagaan atau usahawan,” katanya.
Kerajaan melalui KBS juga katanya menggerakkan program Parlimen Belia Malaysia sebagai satu platform untuk belia menyuarakan idea dan pandangan.
“Justeru itu saya menyeru belia-belia di Labuan untuk mendaftar sebagai pemilih bagi Parlimen Belia Malaysia, yang mana menjadi salah satu platform untuk membincangkan serta mengupas isu-isu pembangunan belia,” katanya semasa merasmikan Sambutan HBN 2019, petang tadi.
Rozman turut menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian anak muda dan pertubuhan belia labuan yang mampu duduk sebaris dengan pertubuhan belia di peringkat kebangsaan.
“Pada tahun ini sekali lagi pertubuhan belia kita tercalon di dalam Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Kebangsaan.
“Pencapaian ini tidak lain dan tidak bukan adalah hasil semangat kepimpinan dan tunjuk ajar yang telah diwariskan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu,” jelasnya.
Pada Majlis itu Rozman turut menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara kategori individu dan Pertubuhan Belia.
Myrza Fasha Md Hamyrudin menjadi johan bagi kategori individu (Wanita) manakala Naib johan disandang Nurul Asyhikin Fitri Abd Samat.
Manakala johan bagi kategori individu (lelaki) pula menjadi milik Mohammadthir Malik diikuti Mohd Izuandi Jaludin selaku naib johan.
Pertubuhan Belia dan Beliawanis Kampung Bukit Kuda (PBBBK) menjadi johan bagi Kategori Pertubuhan Belia, manakala Kelab Belia Anak Layangan (KEBAL) muncul naib johan.
EM