Skip to main content
Berita TempatanTerengganu

‘Ikhtiar Hidup’, Membina Jati Diri Siswa

By 2 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Mohd Othman Abu Bakar/ Shuhaimi Ahmad

SETIU, 1 Mei (Malaysiaaktif) – Semestinya suatu pengalaman yang tidak akan diperolehi dalam dewan kuliah, begitulah gambaran reaksi peserta yang terlibat dengan aktiviti ‘Ikhtiar Hidup’ yang diikuti mereka pada kali ini.

Seramai 40 orang mahasiswa teruja mengikuti aktiviti ‘Ikhtiar Hidup’ yang menguji keupayaan mental dan semangat kerjasama antara peserta.

Aktiviti ini merupakan salah satu pengisian Program Pewaris Muda Negara 2019, Anjuran Jabatan Penerangan Terengganu baru-baru ini.

Peserta dalam kumpulan ketika menyediakan masakan mengikut kreativiti mereka.

Peserta dalam kumpulan ketika menyediakan masakan mengikut kreativiti mereka.

Aktiviti yang bermula seawal 8.00 pagi memerlukan peserta meredah hutan simpan Gunung Tebu, Setiu secara berkumpulan sejauh hampir tiga kilometer perjalanan dari tapak kem.

Setiap kumpulan dibekalkan segengam beras, ayam mentah, sebiji kelapa dan lain-lain bahan masakan sebagai makanan ikhtiar hidup apabila di hutan nanti.

Peserta diminta menggunakan kreativiti diri untuk menggunakan bahan yang ada di dalam hutan sebagai keperluan menyelesaikan tugasan menyediakan masakan berbekalkan bahan mentah yang dibawa.

Afif Ilham Arif Rifashah, 19, pelajar Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (Unisza).

Afif Ilham Arif Rifashah, 19, pelajar Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (Unisza).

Dalam masa satu jam peserta perlu mempersembahkan masakan yang siap untuk dimakan ahli kumpulan.

Salah seorang peserta dari Unisza, Afif Ilham Arif Rifashah, 19, ketika ditanya berkata banyak pengalaman yang unik dan menarik diperolehi.

“Banyak ilmu baharu terutamanya bagaimana nak mengenalpasti bahan-bahan hutan yang boleh dimakan dan digunakan untuk keperluan hidup semasa di dalam hutan,” ujarnya.

Shahir Mohamad Sabri, 22, siswa Institut Pendidikan Guru, kampus Dato Razali.

Shahir Mohamad Sabri, 22, siswa Institut Pendidikan Guru, kampus Dato Razali.

“Di sini saya mengenali tumbuhan hutan seperti akar beluru, pokok banir, tongkat ali dan tumbuhan lain yang memberi faedah ketika di hutan,” ujar siswa Institut Pendidikan Guru, Kampus Dato Razali itu.

Shahir  berharap agar jabatan penerangan dapat meneruskan program pewaris muda dan pengisian seperti ini pada masa akan datang.

Menurut penuntut Universiti Malaysia Terengganu, Siti Nurkhairunnisa Mohamad Shariff, 21 pula, “Agak memenatkan tapi seronok disertai kerana ianya merupakan pengalaman pertama saya mengikuti aktiviti sebegini, hidup dalam hutan bukan perkara mudah, ini membawa ingatan kepada pengorbanan perajurit negara yang terpaksa tinggal di hutan ketika menjalankan tugas mempertahankan negara,” ujar beliau.

Siti Nurkhairunnisa Mohamad Shariff, 21, peserta Pewaris Muda yang juga pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Siti Nurkhairunnisa Mohamad Shariff, 21, peserta Pewaris Muda yang juga pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Sementara itu, bagi Penolong Pengarah PKPM, Jabatan Penerangan Terengganu, Samsudin Daud, “kami sengaja mencipta kelainan dengan memasukkan modul Ikhtiar Hidup sebagai memberi pendedahan kepada siswa agar berinteraksi dengan alam semulajadi disamping mendidik untuk menghargai flora dan fauna,” katanya yang juga ketua urusetia program.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula 24 hingga 25 April di Peladang Agro Resort, Setiu itu turut diisi dengan aktiviti ceramah, gotong-royong membersih masjid dan kubur serta program ziarah kasih iaitu menziarah penduduk di kampung Bintang, Setiu yang tidak bernasib baik.

EM

Tinggalkan komen anda