Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Jakel, KDN Lakukan Kerjasama Amal Bersama

By 17 Mei 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Idris Sani Saberun/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 17 Mei (Malaysiaaktif) – Salah satu pintu yang dibuka oleh Allah SWT pada bulan Ramadan untuk mendapatkan pahala sebesar-besarnya adalah melalui sedekah.

Muhammad Aizad Shamsuddin

Muhammad Aizad Shamsuddin

Agama Islam sering menggalakkan umatnya untuk bersedekah. Pada bulan ini, anjuran itu lebih diperkuat lagi kerana pahala yang dijanjikan akan dilipatgandakan.

Atas dasar itu pihak Jakel Silk House, cawangan Sabah melakukan kerjasama amal bersama-sama Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK), Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Sabah melalui Program Ziarah Ramadan KDN Sabah dengan menyumbangkan sebanyak 40 hamper untuk diberikan kepada anak-anak yatim di Daerah Tuaran dan Kota Belud.

Mohd Nashuddin menyerahkan sijil penghargaan kepada Amran Mohd. Nor (tiga dari kiri)

Mohd Nashuddin menyerahkan sijil penghargaan kepada Amran Mohd. Nor (tiga dari kiri)

Menurut Pengurus Jakel Cawangan Sabah, Muhammad Aizad Shamsuddin, pihak Jakel mengalu-alukan kerjasama dua hala antara pihak kerajaan dan pihak swasta dalam usaha membantu golongan yang memerlukan.

“Usaha ini amat baik kerana bagi pihak Jakel, kami mempunyai kekangan masa untuk mengenal pasti golongan yang memerlukan dan dengan adanya program-program seperti ini ia amat memudahkan dan diharap kerjasama seperti ini harus diteruskan pada masa-masa akan datang.

Pasukan ketika menyampaikan sumbangan kepada Pondok Fii Dzilail Quran

Pasukan ketika menyampaikan sumbangan kepada penghuni Darul Bakti.

“Bagi mengimarahkan lagi bulan Ramadan pada tahun ini pihak Jakel turut meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menaja potongan diskaun sehingga 50 peratus bagi setiap item kelengkapan hari raya di gedung itu kepada 30 pelajar Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS) yang kurang berkemampuan.

“Program kerjasama dengan warga SSMS ini menyasarkan penerima dalam kalangan yatim piatu dan fakir miskin.

Pasukan merakamkan kenangan bersama penghuni Home Tuaran

Pasukan merakamkan kenangan bersama penghuni Home Tuaran

“Tajaan ini merupakan tahun kelima kami menjalinkan kerjasama dengan warga SSMS dengan membawa pelajar yang kurang berkemampuan untuk membeli-belah di Jakel.

“Selain daripada itu pihak Jakel turut mengadakan program yang sama pada 23 Mei melalui SEDCO iaitu program bersama-sama 35 anak-anak yatim yang berumur antara empat tahun hingga enam tahun untuk persediaan baju raya serta program kolaborasi bersama Jabatan Penyiaran Sabah pada 29 ini menerusi Program Jelajah Ramadan RTM Sabah bagi meraikan 45 anak yatim di Daerah Ranau,” jelas Aizad pada Majlis Penyerahan Sumbangan Jakel kepada Kelab Rekreasi PKK, KDN Sabah pada Rabu.

Mohd Nashuddin Daud

Mohd Nashuddin Daud

Sementara itu, Pengarah PKK KDN Sabah, Mohd Nashuddin Daud berkata tujuan Program Ziarah Ramadan ini diadakan adalah bagi memberi sedikit sumbangan kepada anak-anak yatim dan pelajar-pelajar pusat tahfiz agar kemeriahan bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma nanti dapat diraikan dengan perasaan gembira.

“Program ziarah ini dijalankan pada 16 Mei bermula pada 1 petang dengan rombongan kakitangan PKK bergerak menuju ke Rumah Anak Yatim (RAY) Home Tuaran, RAY Darul Bakti Kota Belud dan berakhir untuk program berbuka puasa dan solat Tarawih bersama-sama penuntut Sekolah Tahfiz Fii Dzilalil Quran, Kampung Tamau Kota Belud.

Penghuni Pondok Fii Dzilail tidak melepaskan peluang merakamkan kenangan bersama ahli pasukan.

Penghuni Pondok Fii Dzilail tidak melepaskan peluang merakamkan kenangan bersama ahli pasukan.

“Pada program ini pihak PKK akan menyampaikan sumbangan berbentuk duit raya, barangan makanan dan hamper kepada 90 orang penerima hasil sumbangan orang perseorangan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta,” jelas beliau.

Harapan Mohd Nashuddin agar pada tahun yang mendatang program tahunan PKK ini akan mendapat lebih banyak sumbangan dari pelbagai pihak agar lebih ramai lagi anak yatim dan golongan kurang berkemampuan mendapat manfaat agar kemeriahan bulan Ramadan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri dapat diraikan dengan suasana yang gembira dan ceria.

Sijil Penghargaan KDN kepada Jakel Silk House

Sijil Penghargaan KDN kepada Jakel Silk House

Hadir sama, Pengarah Urusan Jakel, Amran Mohd. Nor; Penyelaras Program Ziarah Ramadhan, Awg Sharin Ahmad serta Pengerusi Kelab Rekreasi PKK KDN Sabah, Donlly@Dorothy James.

EM

Tinggalkan komen anda