Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Sultan Mizan dan Permaisuri Kurnia Sumbangan  Aidilfitri

By 17 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Shuhaimi Ahmad (Kuala Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 17 Mei (Malaysiaaktif) – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan sumbangan kepada golongan fakir miskin, pelajar sekolah dan bekas atlet sukan yang pernah mengharumkan nama Terengganu pada majlis yang diadakan di Istana Syarqiyyah, Cendering di sini semalam.

Majlis Pengurniaan Bantuan Kepada Fakir Miskin dan Pelajar Sekolah adalah program kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) sempena sambutan Aidilfitri 1440 Hijrah. Turut menyampaikan sumbangan ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Sultanah Nur Zahirah  menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima

Sultanah Nur Zahirah menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima

Seramai 200 fakir miskin, 210 pelajar sekolah, 90 pelajar madrasah dan 30 atlet sukan menerima sumbangan daripada Sultan Mizan yang juga Pengerusi YDSM. Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras program, Datuk Mohd Fadzli Yusuf berkata, pada tahun ini setiap fakir miskin menerima wang tunai RM500.00 dan hamper barangan keperluan harian bernilai RM150.00 manakala pelajar sekolah menerima wang tunai RM200.00 seorang.

Katanya, YDSM memperuntukkan sebanyak RM209,500.00 pada tahun ini untuk diagihkan kepada penerima sumbangan. Beliau berkata, selain itu YDSM dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut membina 10 buah rumah yang bernilai RM50,000.00 sebuah untuk disumbangkan kepada keluarga yang kurang berkemampuan di seluruh negeri.

Pelajar sekolah yang menerima sumbangan daripada Yayasan DiRaja Sultan Mizan merakamkan gambar kenangan

Pelajar sekolah yang menerima sumbangan daripada Yayasan DiRaja Sultan Mizan merakamkan gambar kenangan

Sultan Mizan turut berkenan menyampaikan replika kunci rumah kepada 10 penerima pada majlis itu. Seorang penerima sumbangan, Abdul Aziz Othman, 64, dari Kampung Chalok Kedai, Setiu bersyukur kerana terpilih menerima sumbangan.

Beliau yang mempunyai 13 orang anak akan menggunakan sumbangan yang diterima untuk membeli keperluan hari raya untuk anak-anaknya. Katanya, sebagai orang kampung yang tidak mempunyai pendapatan tetap, sumbangan yang diterima amat bermakna  dan dapat membantu terutama menjelang sambutan Adilfitri tidak lama lagi.

Sebahagian penerima sumbangan Hari Raya Yayasan DiRaja Sultan Mizan

Sebahagian penerima sumbangan Hari Raya Yayasan DiRaja Sultan Mizan

Penerima rumah, Haidah Samsudin, 51, dari Kampung Kemasik, Kemaman berterima kasih dan bersyukur menerima sebuah rumah yang selesa dan dilengkapi dengan kemudahan asas seperti  elektrik dan air. Beliau yang juga ibu tunggal dan mempunyai empat anak sebelum ini tinggal bersama neneknya dan berharap rumah baharu yang masih dalam pembinaan itu boleh diduduki sebelum Aidilftri ini.

Tinggalkan komen anda