Skip to main content
Berita TempatanHomeJohor

Kerajaan Komited Cegah Diabetes

By 5 Mei 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 5 Mei (Malaysiaaktif) – Diabetes adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh paras gula glukos di dalam darah terlalu tinggi. Gula ini terhasil dari pengambilan makan manis yang mempunyai kandungan gula yang tinggi oleh pesakit.

Insulin pula merupakan hormon yang dihasilkan oleh tubuh secara semulajadi untuk membantu menguraikan gula di dalam darah agar dapat diserap oleh sel bagi memberi tenaga kepada tubuh manusia.

Apabila badan tidak mampu untuk menghasilkan insulin yang cukup, kadar gula tidak terurai di dalam darah akan menjadi tinggi dan ini boleh menjurus kepada penyakit diabetes.

Orang ramai yang hadir melakukan pemeriksaan kesihatan

Orang ramai yang hadir melakukan pemeriksaan kesihatan

Sedar akan kadar peningkatan penyakit ini dalam kalangan rakyat Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia bersama dengan National Diabetes Institute Malaysia (NADI) dan syarikat Central Sugars Refinery Sdn Bdh (CSR) telah bersama-sama menandatangi perjanjian MOU bagi mempromosikan amalan gaya hidup sihat dan pengambilan gula secara bertanggungjawab dalam Program Cegah Diabetes.

Program dijalankan di kawasan bandar dan luar bandar sebanyak enam kali setahun selama 3 tahun dan salah satunya berlangsung beberapa hari lalu di Dewan Orang Ramai Parit Raja, Batu Pahat.

Menurut Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat, Dr Zuraini Ahmad, program ini merupakan kerjasama antara Pejabat Kesihatan Batu Pahat, NADI, CSR dan Ahli Parlimen Sri Gading.

Klinik Pergigian turut tidak melepaskan peluang membuka kaunter pemeriksaan percuma kepada penduduk sekitar Parit Raja, Batu Pahat

Klinik Pergigian turut tidak melepaskan peluang membuka kaunter pemeriksaan percuma kepada penduduk sekitar Parit Raja, Batu Pahat

Program kali ini menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma iaitu pemeriksaan gula dalam darah, pemeriksaan kolestrol, tekanan darah, kaunseling pemakanan, ujian tahap kecergasan, ujian kesihatan minda, pemeriksaan gigi, pemeriksaan penyakit tibi dan kusta, pemeriksaan status BMI dan lemak badan, serta pemeriksaan kanser pangkal rahim dan kanser payudara.

“Kita juga turut menyediakan pemeriksaan jantung, mata dan kaki untuk pesakit diabetes dan turut membawa doktor pakar diabetes dari Batu Pahat dan Kuala Lumpur untuk khidmat nasihat kepada pesakit.

“Had umur untuk pemeriksaan percuma adalah 18 tahun ke atas dan tiada had umur untuk pesakit diabetes,” ujarnya lagi.

Tracy Gun Chew Ee (kiri) dan Azansuffan Mohd Abdad (dua,kiri) mempromosikan gula perang CSR, altenatif untuk menggantikan gula putih kepada pesakit diabetes yang mempunyai kadar kandungan glisemik rendah

Tracy Gun Chew Ee (kiri) dan Azansuffan Mohd Abdad (dua, kiri) mempromosikan gula perang CSR, altenatif untuk menggantikan gula putih kepada pesakit diabetes yang mempunyai kadar kandungan glisemik rendah

Beliau turut berkata golongan kanak-kanak turut terdedah kepada penyakit ini sekiranya ibu bapa tidak memainkan peranan dalam mengawal pengambilan gula seharian.

Beliau juga turut berharap agar kerajaan akan terus memberi sokongan positif dalam kempen mencegah penyakit diabetes ini dan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Eksekutif Kanan Perhubungan Korporat CSR, Azansuffan Mohd Abdad berkata CSR bersama badan kerajaan mempromosikan gaya hidup sihat dan turut mempromosikan penggunaan gula perang untuk menggantikan gula putih biasa kepada masyarakat khususnya pesakit diabetes.

“Pesakit diabetes tiada masalah untuk mengambil gula ini kerana mempunyai kandungan Glisemik yang rendah iaitu kurang dari 55,” tambahnya lagi.

Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat, Dr Zuraini Ahmad mempromosikan gaya hidup sihat; Program Cegah Diabetes

Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat, Dr Zuraini Ahmad mempromosikan gaya hidup sihat; Program Cegah Diabetes

“Gula perang ini tidak mempunyai masalah kepada pesakit diabetes kerana membekalkan tenaga kepada tubuh tetapi tidak mempunyai kadar gula yang tinggi di dalam darah.

“Walaubagaimanapun, pesakit perlu mendisiplinkan diri dalam pengambilan gula mengikut keperluan,” kata Pengurus Kanan Pemasaran CSR, Tracy Gun Chew Ee.

Salah seorang penduduk yang ditemui, yang juga Ketua Kampung Parit Besar, Atan Dayat, 63, berkata dia bersyukur dilahirkan sebagai rakyat Malaysia kerana perkhidmatan kesihatan negara ini adalah yang paling terbaik dan termurah di dalam dunia.

“Berdasarkan pengalaman ke luar negara, tiada negara yang dapat menandingi Malaysia dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik buat rakyat,” ujarnya.

Atan Dayat, 63, ketika ditemui sedang menunggu giliran pemeriksaan kesihatan percuma

Atan Dayat, 63, ketika ditemui sedang menunggu giliran pemeriksaan kesihatan percuma

Beliau juga berharap lebih banyak program pemeriksaan kesihatan percuma akan diberikan oleh kerajaan bagi membantu golongan yang memerlukan pada masa akan datang.

EM

Tinggalkan komen anda