Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Rumah Pengarah Penguatkuasa MPS Dibaling Cat Merah, Molotov Cocktail

By 21 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

RAWANG, 21 Mei (Malaysiaaktif) – Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menerima ancaman pihak tidak bertanggungjawab membaling rumahnya dengan cat merah dan meletupkan molotov cocktail.

Mangsa, Norhayati Ahmad memaklumkan keluarganya menerima dua kali ancaman pihak terbabit yang tidak diketahui punca dan motifnya.

“Kejadian pertama berlaku 28 April lalu apabila rumah saya dibaling dua plastik cat merah di anjung rumah. Ketika itu saya berada di luar negara atas urusan rasmi.

“Kali kedua pula pada 13 Mei, ancaman tersebut lebih serius apabila pelaku turut membaling molotov cocktail dan cat ke atas bumbung anjung rumah menyebabkan berlaku letupan yang kuat serta kebakaran kecil,” jelasnya.

Beliau yang baru dua bulan menegang jawatan ‘kerusi panas’ tersebut berkata kejadian kali kedua itu terkesan apabila memikirkan keselamatan diri dan keluarga sehingga berniat untuk melepaskan jawatannya.

“Jiran-jiran juga terima tempiasnya menyebabkan mereka juga berada dalam ketakutan dan memikirkan keselamatan yang terancam selepas ini.

“Memikirkan keselamatan keluarga dan jiran-jiran, saya beritahu suami untuk berundur daripada jawatan tersebut dan mengalah terhadap ancaman itu.

“Namun, sokongan moral yang kuat daripada Pemangku Yang Di-Pertua (YDP), Datuk Dr Juhari Ahmad, Ahli-ahli Majlis dan rakan-rakan menaikkan semula semangat untuk terus berkhidmat dan menghadapi cabaran ini,” katanya.

Norhayati (kanan) menceritakan kepada Hilman kejadian rumahnya yang dibaling cat merah dan molotov cocktail baru-baru ini.

Norhayati (kanan) menceritakan kepada Hilman kejadian rumahnya yang dibaling cat merah dan molotov cocktail baru-baru ini.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham meluangkan masa hampir 30 minit mengunjungi Norhayati sekeluarga di rumahnya di Taman Muhibbah, di sini pagi tadi.

Menurutnya, kehadiran sebagai menyatakan solidariti dan sokongan kepada Norhayati serta memperlihatkan dokongan kerajaan negeri dan persekutuan untuk mempertahankan penjawat awam.

“Ini adalah tindakan pengecut bermotifkan untuk mengugat keselamatan atau mengurangkan tindakan-tindakan tegas yang diambil Jabatan Penguatkuasaan MPS mutakhir ini.

“Sememangnya banyak isu-isu dalam daerah Gombak sedang diteliti dan kita mempunyai satu pasukan yang cukup kuat dan utuh untuk melaksanakan tugas penguatkuasaan di kawasan ini.

“Ia memerlukan ketegasan, prinsip yang dan nilai integriti untuk menyelesaikan pelbagai masalah rakyat. Saya bersyukur walaupun dua kali kejadian ancaman berlaku, beliau masih bermotivasi untuk melaksanakan tugasnya,” katanya.

Kesan daripada kejadian itu menyebabkan enam buah kereta rosak terkena percikan cat dan laporan polis turut dibuat.

Difahamkan, kes terbabit masih disiasat polis dan pihak MPS turut memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau kawasan rumah serta kejiranan Norhayati.

-NAZ

Tinggalkan komen anda