Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

KIDA Manfaatkan Lebih 4500 Penerima Bantuan

By 20 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Fasharina Kholil/Bashyar Abdullah (Sik)

SIK, 20 Mei (Malaysiaaktif) – Seramai 4508 orang penerima terdiri daripada wanita berkeluarga, ibu tunggal serta suri rumah tanpa pendapatan tetap di negeri ini memperoleh manfaat menerusi Program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA).

KIDA menggunakan mekanisme kad pintar bagi menyalurkan bantuan kewangan bagi pembelian barangan keperluan asas sebanyak RM250 sebulan serta keperluan kesihatan sebanyak RM500 setahun.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM30 juta bagi tahun ini untuk pelaksanaan program KIDA yang akan membantu kira-kira 4500 ibu-ibu di seluruh negeri Kedah.

“Senarai penerima KIDA ini telah diperhalusi dan hanya mereka yang layak saja dipilih untuk menerima bantuan tersebut, namun para penerima akan dinilai semula pada setiap tahun untuk mengkaji dan mempertimbangkan kelayakan mereka.

Mukhriz (kanan) menyampaikan kad KIDA kepada salah seorang daripada 4500 penerima yang layak.

Mukhriz (kanan) menyampaikan kad KIDA kepada salah seorang daripada 4500 penerima yang layak.

“Kerajaan bukan sahaja mengambil berat tentang keperluan perbelanjaan harian ibu-ibu bahkan turut menjaga kebajikan serta kesihatan mereka, dan saya amat berharap agar para penerima memanfaatkan bantuan ini dengan sebaik-baiknya,” jelasnya ketika berucap di Majlis Pelancaran Kad KIDA di Dewan Al Hana, di sini pagi tadi.

Program ini merupakan Inisiatif Peduli Rakyat yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dalam usaha meningkatkan daya beli dan taraf hidup, sekaligus membasmi kemiskinan terutamanya di kawasan luar bandar.

Menurut Mukhriz lagi, penerima KIDA boleh membeli bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan dan pakaian sekolah untuk anak-anak di lebih 100 kedai runcit di seluruh negeri ini dan mendapatkan rawatan di 78 klinik yang telah berdaftar.

“Kad tersebut sudah boleh digunakan untuk dibuat belanja sempena bulan Ramadan dan juga sebagai persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi,” tambahnya.

Sementara itu, bagi anak-anak penerima KIDA yang bakal menduduki peperiksaan utama seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) serta Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka akan diberi program tuisyen khas supaya dapat membantu keluarga keluar daripada kemelut kemiskinan melalui pendidikan.

SH

Tinggalkan komen anda