Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

Masjid Ar-Rahman; Kolaborasi Seni Bina Nusantara dan Timur Tengah

By 20 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: W. Shahilawati W. Baharuddin/Khairul Akmal Mohamad (Kota Bharu)

KOTA BHARU, 20 Mei (Malaysiaaktif) – “Ketika pertama kali melangkah masuk ke dalam masjid ini, suasananya cukup mengujakan dan pandangan kami terpaku melihat seni bina yang sangat unik dan berseni,” ujar Mohamad Taufik Ismail, 35, yang berasal dari Kuala Lumpur.

Sebaik sahaja tiba di sini, Mohamad Taufik serta rakan sekerja terus menuju ke Masjid ar-Rahman Kampung Pulau Gajah, Pengkalan Chepa untuk melihat keindahan seni ukir dan keunikan seni binanya.

“Setiap ruangan masjid dipenuhi dengan ukiran ayat suci al-Quran dan masjid ini juga ala-ala pusat peranginan, saya tidak pernah jumpa masjid yang sebegini indah,” jelasnya yang berkunjungan ke negeri ini atas urusan kerja mengambil kesempatan menziarahi masjid yang tular di media sosial ini.

Menurut Siak Masjid ar-Rahman, Mohd Suhaimi Abd Rahman, 54, setiap hari masjid ini dikunjungi ramai pelancong tempatan dan luar.

Rekaan pintu utama masjid ini dipenuhi ukiran ayat suci al-Quran mirip Masjid Niu Jie, di China.

Rekaan pintu utama masjid ini dipenuhi ukiran ayat suci al-Quran ini mirip Masjid Niu Jie di China.

“Kebanyakan pengunjung yang datang teruja dan kagum melihat keindahan masjid ini yang menggabungkan senibina Melayu dengan Yaman, Maghribi, Indonesia dan Turki dengan seni binanya yang halus berasaskan kayu.

“Paling mengagumkan masjid ini adalah penggunaan lima tiang kayu cengal di ruang solat dalam masjid yang melambangkan lima Rukun Islam dan diserikan dengan dua batang pokok tamar di ruang mimbar,” jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Masjid ar-Rahman, Hasan Mahmood, 76, berkata cetusan idea dan kos pembinaan masjid ini adalah daripada pembiayaan derma Pengerusi Ain Medicare Sdn. Bhd, Datuk Wan Arif Wan Hamzah.

“Pembinaan masjid ini menelan kos jutaan ringgit dan hanya penderma sahaja tahu kos sebenar, manakala masjid ini sudah genap setahun beroperasi,” jelasnya yang juga Imam Tua Masjid ar-Rahman kepada MalaysiaAktif.

Masjid ar-Rahman ini mampu memuatkan kira-kira 1,000 jemaah dengan kapasiti 50 jemaah bagi setiap saf.

SH

Tinggalkan komen anda