Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Koperasi Agih Sumbangan Kepada 50 Keluarga dan Asnaf

By 21 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/Foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Kota Bharu)

PASIR MAS, 21 Mei (Malaysiaaktif) – Bulan Ramadan adalah bulan yang disarankan banyak bersedekah dan membantu golongan yang kurang bernasib baik agar sama-sama merasai nikmat dan keberkatannya.

Seiring dengan saranan tersebut 50 keluarga di Kampung Buloh Melintang, Kangkong Pasir Mas telah menerima satu kampit beras percuma sumbangan Koperasi Keluarga Haji Othman dan Jawatankuasa Madrasah Kampung Buloh Melintang sempena ‘Program Kita Kongsi Rezeki Pada Bulan Ramadan’ Jumaat lepas.

Menurut Setiausaha Koperasi Keluarga Haji Othman dan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Madrasah Kampung Buloh Melintang, Haji Zainuddin Ohtman, 63, Program Kita Kongsi Rezeki Pada Bulan Ramadhan ini adalah untuk menghargai penduduk yang sentiasa berkerjasama memakmurkan kampung sehingga mewujudkan perpaduan yang erat di sini.

“Penduduk di sini sentiasa memberikan kerjasama pada setiap program yang dijalankan seperti kenduri kampung, majlis keagamaan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di program berkenaan.

“Saya amat berterima kasih dan menyanjung tinggi di atas kerjasama yang diberikan sehingga kampung ini selamat dan hidup dalam persekitaran yang sihat,” ujarnya lagi.

Di samping sumbangan khusus satu kampit beras kepada 50 keluarga terpilih, sumbangan turut diberikan kepada golongan asnaf yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan golongan orang kurang upaya (OKU).

Sumbangan berupakan barangan keperluan dapur untuk kegunaan harian seperti minyak masak, gula, biskut, bihun, dan buah kurma yang mampu mengurangkan bebanan perbelanjaan harian.

Seorang warga emas penerima beras dan barangan dapur, Shamsuddin Mat Ali, 72, berkata beliau amat bersyukur dan mengucapkan terima kasih di atas sumbangan ini yang mengurangkan beban dan menjimatkan belanja dapur.

“Pakcik tak tahu nak cakap apa, hanya terima kasih banyak-banyak di atas pemberian ini, rasa lega dan terharu,” katanya.

Sementara Fatimah Awang, 65, pula berkata sumbangan ini boleh menampung sedikit sebanyak perbelanjaan dan meringankan beban dalam persiapan menyambut hari raya aidilfitri nanti.

“Terima kasih kepada pihak berkenaan yang prihatin dengan kesusahan kami, barangan keperluan dapur ini boleh digunakan sehingga hari raya nanti,” katanya.

Peyampaian sekampit beras dan sumbangan untuk golongan asnaf telah disempurnakan oleh Pegawai Suruhanjaya Koperasi Daerah Pasir Mas, Che Ramli Che Husin.

Hadir sama ialah Pengerusi Koperasi Keluarga Haji Othman, Dr. Sukri Ohtman serta 200 orang penduduk tempatan bagi meraikan majlis berbuka puasa yang turut diadakan bersama penerima sumbangan.

-NAZ

Tinggalkan komen anda