Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Maklumat Lalu Lintas Daerah Kuala Pilah Sempena Perayaan Aidilfitri 2019

By 31 Mei 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Hamidah Md Drus / Hasrulazlinda Hassan (Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 31 Mei (Malaysiaaktif) – Bersempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri 2019, Jawatankuasa Pengurusan Lalu-Lintas Daerah Kuala Pilah akan melaksanakan Pelan Pengurusan Lalu Lintas Daerah Kuala Pilah Sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2019 bermula 1 Jun 2019 hingga 9 Jun 2019 di sepanjang Jalan Kuala Pilah – Seremban. Pelaksanaan Pelan Pengurusan Lalu Lintas ini adalah bagi memastikan kelancaran lalu lintas di sepanjang laluan Kuala Pilah – Seremban.

Menurut Pegawai Daerah Kuala Pilah, Syahrul Nizam Saleh, antara strategi serta inisiatif yang terlibat adalah penutupan lampu-lampu isyarat di Jalan Kuala Pilah-Seremban 1 hingga 9 Jun 2019. Kawasan yang terlibat adalah lampu isyarat persimpangan Ampang Tinggi, lampu isyarat di hadapan Sek. Men. Keb. Dato’Abdul Samad, Tanjung Ipoh, lampu isyarat di hadapan Sek. Keb. Dato’ Idris, Tanjung Ipoh, lampu isyarat di hadapan Sek. Keb. Yam Tuan Hitam, Terachi, lampu isyarat di kawasan rehat Taman Rekreasi Ulu Bendu dan lampu isyarat di hadapan Sek. Keb. Ulu Bendul.

Penutupan lampu isyarat Persimpangan Ampang Tinggi akan menyebabkan pengguna jalan raya dari arah Jalan Seremban Lama yang ingin menghala ke Seremban perlu membuat pusingan β€˜U’ di persimpangan lampu isyarat di hadapan Pasaraya Giant Kuala Pilah kerana lorong menghala ke Seremban akan ditutup bagi melancarkan aliran trafik.

Syahrul Nizam turut memaklumkan penutupan persimpangan masuk ke kawasan Bandar Kuala Pilah bermula dari 1 hingga 9 Jun 2019 iaitu di persimpangan Jalan Undang Johol – Jalan Perpatih dan persimpangan Jalan Dato’ Undang Johol – Jalan Dato’Abdul Manap. Persimpangan Jalan Dato’ Undang Johol –Jalan Ulu Muar akan dibuka dan hanya akan ditutup sekiranya berlaku kesesakan teruk di dalam kawasan Bandar Kuala Pilah.

Bagi Pengguna yang ingin masuk ke kawasan Bandar Kuala Pilah dari arah Jempol perlu melalui lorong bersebelahan bank RHB Kuala Pilah atau melalui Taman Rekreasi Jalan Bukit seterusnya melalui Jalan Perpateh.

Anggota Polis Trafik dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga akan membuat rondaan di kawasan tumpuan kesesakan lalu lintas antaranya kawasan Rumah Rakyat Ulu Bendul, kawasan berhampiran Sek. Keb. Yam Tuan Hitam, persimpangan Pekan Tanjung Ipoh – Talang, persimpangan Ampang Tinggi, persimpangan Masjed Jamek Yam Tuan Raden, Kuala Pilah, pPersimpangan Wisma MCA dan persimpangan Pekan Senaling.

Bagi mengurangkan serta mengelakkan kesesakan lalu-lintas di kawasan bandar Kuala Pilah, para pengguna juga boleh menggunakan laluan alternatif seperti berikut:

Laluan Seremban- Kuala Klawang – Simpang Pertang- Muadzam Shah – Kuantan. Pengguna jalan raya dari arah Bandar Seremban, Senawang, Mantin dan Lebuhraya LEKAS Exit 2106 Jelebu/Ampangan boleh menggunakan Jalan Pantai – Kuala Klawang – Simpang Pertang (FT86) dan Jalan Bandar Baru Serting (Jempol) (FT 1268) dan terus Rompin/Kuantan (FT11).

Laluan Rembau – Bandar Baru Serting / Muadzam Shah/ Kuantan. Pengguna yang datang dari arah Rembau boleh menggunakan laluan Kg. Batu – Johol (N14)*dan Jalan Dangi – Kepis – Bahau (N17) untuk ke Bahau, Bandar Baru Serting/Muadzam Shah/Kuantan/Rompin (FT11).

Laluan Alternatif Tanjung Ipoh – Ranjau Hantu – Kuala Pilah. Laluan ini bermula dari Simpang Jalan Tanjung Ipoh – Talang (N135), melalui Jalan Tanjung Ipoh – Ranjau Hantu (N101) dan keluar di Simpang Tiga Kg Parit di Jalan Ampang Tinggi – Kuala Pilah (N3). Pengguna boleh meneruskan perjalanan ke Pantai Timur dengan melalui Jalan Tampin – Kuala Pilah – Manchis (FT009) untuk ke Bandar Baru Serting/Muadzam Shah/Kuantan/Rompin.(FT11)

Laluan Alternatif Terachi – Seri Menanti – Senaling. Laluan ini bermula dari Simpang Jalan Terachi – Seri Menanti (N29), kemudian melalui Jalan Tanjung Ipoh – Seri Menanti – Senaling (N24) dan keluar di Simpang Tiga Pekan Senaling di Jalan Tampin – Kuala Pilah – Manchis (FT009).

Panjang keseluruhan laluan alternatif ini adalah sejauh 24.5 kilometer. Pengguna boleh meneruskan perjalanan ke pantai timur dengan melalui Jalan Tampin – Kuala Pilah – Manchis (FT009) dan Jalan Senaling – Kepis (N22) dan Jalan Dangi – Kepis – Bahau (N17) untuk ke Bandar Baru Serting/Muadzam Shah/Kuantan/Rompin (FT10 dan FT11).

Pengguna jalan raya boleh berkongsi maklumat melalui akaun media sosial Facebook Info Trafik Rasmi Kuala Pilah – Seremban dan Twitter InfoTrafik_KP. Orang ramai juga boleh menghubungi Info Trafik – Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah di talian 06-4842999 untuk perkongsian atau pertanyaan sebarang maklumat berkaitan keadaan trafik.

-KN

Tinggalkan komen anda