Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Iftar Tiup Roh Kebersamaan, Fahaman Politik Diketepikan

By 31 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Rosli Md Zin (Bachok)

BACHOK, 31 Mei (Malaysiaktif) – ‘Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’ itulah pepatah Melayu bagi mengambarkan peri pentingnya kesepakatan dalam sesebuah masyarakat.

Konsep gotong royong yang berteraskan hubungan kejiranan wajar dipupuk di kalangan generasi muda dalam komuniti  kerana generasi muda dilihat lebih ghairah berinteraksi secara maya berbanding melibatkan diri dalam interaksi sosial bersama komuniti.

Bagi memeriahkan Ramadan pada kali ini dan membuktikan semangat kebersamaan serta kejiranan masih kukuh diamalkan, komuniti Kampung Pak Simpul Bachok telah menjalankan kerjasama dengan Jabatan Penerangan menganjurkan Majlis Iftar ‘Komuniti Sepakat Membawa Berkat’.

Keunikan majlis pada kali ini ialah semua persiapan dilakukan secara gotong royong dan melibatkan semua peringkat komuniti.

Yussof Ahmad, 64, merupakan pemimpin tempatan berkata semangat kejiranan di sini tidak pernah luntur apabila ada sesuatu kenduri kendara atau program, penduduk akan keluar beramai-ramai tanpa mengira perbezaan politik.

“Ini telah menjadi tradisi di sini dan fahaman politik dan parti kami letak di tepi,” jelas Yussoff selaku tuan rumah bagi lokasi acara.

Rokiah (tengah) individu penting di bahahian dapur masakan dan pemilihan juadah

Rokiah (tengah) individu penting di bahagian dapur masakan dan pemilihan juadah

Menurut Yussoff, golongan muda dan tua seolah-olah sudah faham peranan masing-masing dalam kerja-kerja kenduri atau penganjuran majis, “Kadang kala ada juga yang perlu ditegur bila mereka asyik dengan telefon sahaja,” ujar Yussoff tersenyum.

Tinjauan MalaysiaAktif di lokasi mendapati hubungan komuniti di sini sangat harmoni di mana “golongan muda memasak dengan tunjuk ajar daripada orang-orang lama, supaya apabila tiadanya kami nanti, golongan muda inilah yang akan meneruskan legasinya, kata Yussoff lagi.

Sementara Rokiah Majid, 55, yang merupakan individu penting di bahagian dapur berkata suasana riuh rendah menyediakan masakan dan juadah berbuka puasa dalam bulan Ramadan berbeza dibandingan dengan bulan yang lain. “Perang Mulut” di bulan puasa kerana tidak dapat merasa sesuatu masakan itu sama ada manis, masin atau masam.

“Masing-masing memberi pendapat berapa sukatan garam, gula, cuka atau bahan-bahan lainya untuk dimasukkan ke dalam masakan,” ujar Rokiah lagi.

Namun suasana inilah yang merapatkan lagi hubungan antara mereka dalam komuniti. Interaksi sosial seperti komunikasi bersemuka dan sosialisasi sangat penting dalam menghidupkan sesebuah komuniti.

Pengerusi Jawatankuasa Portfolio Komunikasi Multimedia Dan Antrabangsa Pakatan Harapan Kelantan, Zulkifli Zakaria, 62, ketika menghadiri program ini berkata beliau hadir meninjau persiapan program sebelum ini dan memuji semangat gotong royong dan tolong menolong antara komuniti di sini adalah yang terbaik.

“Ini mungkin disebabkan kerjaya penduduk di sini yang sebahagian besar terdiri dari petani dan berkerja sendiri yang sentiasa sibuk dan amat kurang melayari Internet serta tidak terpengaruh dengan sesetengah fitnah di Internet yang dibuat oleh individu yang tidak bertanggungjawab dalam memecah belahkan masyarakat,” jelas Zulkifli.

-NAZ

Tinggalkan komen anda