Skip to main content
Berita SelatanHomeMAPahang

Pahang Berkabung, Cuti 23 Mei

By 22 Mei 2019Tiada komen1 minit bacaan
Laporan/foto: Pai Syahira

 

KUANTAN, 22 Mei (Malaysiaaktif) – Kerajaan Pahang mengumumkan cuti umum bagi negeri itu pada 23 Mei 2019 (Khamis) sebagai menghormati kemangkatan kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Mustain Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah.

Perkara tersebut diumumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak dalam sidang media di Wisma Sri Pahang, hari ini.

“Pihak negeri mengumkan tempoh berkabung selama 40 hari bagi rakyat jelata di Negeri Pahang manakala 100 hari bagi Ahli Jumaah Pangkuan dan kerabat diraja bagi menghormati kemangkatan tuanku,” ujarnya.

Sehubungan itu tiada upacara persembahan diadakan sepanjang tempoh berkabung melainkan upacara berbentuk keagamaan.

Dalam pada itu, bendera separuh tiang dikibarkan sekurang-kurangnya tiga hari di seluruh negeri Pahang bermula hari ini.

“Semua masjid dan surau di Negeri Pahang akan menjalankan sesi tahlil selama tiga malam dan orang ramai boleh mula menziarahi jenazah sebagai memberi penghormatan terakhir almarhum tuanku bermula malam ini sehingga pukul 9.00 pagi di Balairung Istana Abu Bakar, Pekan” tambahnya.

Sallehuddin berkata orang ramai dinasihati mematuhi etika pemakaian semasa tempoh berkabung dengan berpakaian serba hitam dan songkok berlilit putih.

Turut hadir, Mufti Pahang, Sahibus Samahah, Datuk Seri Dr Abdul Rahman dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Adat Resam Melayu Pahang, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

EM

Tinggalkan komen anda