Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Program Pengisahan: Sentuhan Seni Hayati Sejarah dan Tokoh Tanah Air

By 3 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto  : Dayang Siti Nurzuhairah Abang Ahmad Zaini / Shahrir Mohamad Nor (Bachok)

KOTA BHARU, 3 Mei (Malaysiaaktif) – Pengisahan atau penceritaan mengenai sejarah dan tokoh-tokoh tanah air yang dipersembahkan melalui sentuhan seni lakon ternyata berjaya memupuk minat generasi muda untuk terlibat sama di dalam proses pemasaran dan penyampaian maklumat kenegaraan.

Ini terbukti melalui penyertaan oleh sembilan kumpulan daripada daerah di Kelantan yang merangkumi Kota Bharu, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Machang, Tanah Merah, Kuala Krai dan Jeli ke Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Saringan Negeri Kelantan 2019 yang diadakan di Dewan Duyan Institut Latihan FAMA Kota Bharu pada hari ini.

Program saringan anjuran Jabatan Penerangan Negeri Kelantan ini diadakan bagi memilih empat kumpulan terbaik untuk dipertandingkan ke peringkat negeri yang bakal diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lati, Pasir Mas.

Sembilan kumpulan yang terlibat adalah kumpulan Jastera Entertainment (Kota Bharu), Kelab Teater Pusaka (Pasir Puteh), Sri Mas Sukma (Pasir Mas), Permata Pantai Timur (Tumpat), Pewaris (Bachok), Red Spirit Production (Machang), Sanggar Budaya (Tanah Merah), Petrarians Production (Kuala Krai) dan Lestari Warisan (Jeli).

Babak daripada kumpulan Kelab Teater Pusaka bertajuk "Konfrontasi 13".

Babak daripada kumpulan Kelab Teater Pusaka bertajuk “Konfrontasi 13”.

Penganjuran program ini bertujuan untuk menggalakkan golongan belia menghayati sejarah negara dan menghargai tokoh-tokoh tanah air yang telah berjasa kepada negara.

Ianya berkonsepkan penyampaian cerita, pandangan dan pendapat mengenai peristiwa-peristiwa bersejarah dan keterlibatan tokoh-tokoh sejarah.

Di samping itu, pendekatan ini juga adalah satu usaha menghayati sejarah dengan penyampaian yang kreatif dan memupuk semangat integrasi nasional antara suku kaum, budaya, agama dan kepercayaan melalui nilai-nilai yang diperjuangkan oleh tokoh negara dalam membina sebuah negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah.

Menurut seorang tenaga pengajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri, Muhamad Zaidin Hussin, 52, program seperti ini merupakan satu pendekatan yang baik kerana mendedahkan penonton dengan sejarah dan tokoh-tokoh yang kurang dikenali.

“Program ini bagus kerana membuka ruang dan peluang dalam memperkenalkan tokoh tempatan kepada negeri-negeri lain sekiranya bertanding keperingkat kebangsaan nanti,” ujar beliau.

Babak daripada kumpulan Kelab Teater Pusaka bertajuk "Konfrontasi 13".

Babak daripada kumpulan Kelab Teater Pusaka bertajuk “Konfrontasi 13”.

Menurut Wan Shilawati Wan Baharuddin, 40, selaku Ketua Urus Setia Penyelaras Pertandingan, program ini turut menerapkan konsep komunikasi bersemuka dengan menggunakan seni lakonan, penceritaan atau pengisahan bagi menyampaikan mesej kepada penonton sekaligus sebagai platform kepada Jabatan Penerangan Malaysia bagi mempromosikan tokoh-tokoh yang pernah berjasa kepada negara.

Empat kumpulan terbaik yang akan berentap di peringkat negeri pada 18 Jun nanti ialah daripada daerah Kota Bharu, Pasir Puteh, Pasir Mas dan Machang.

-NAZ

Tinggalkan komen anda