Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Ramadan Bukan Masa Untuk Lemah, Malas – MB

By 6 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 6 Mei (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memberi peringatan kepada umat Islam supaya tidak menjadikan ibadat puasa di bulan Ramadan sebagai alasan untuk bersikap lemah dan malas dalam menjalani kehidupan.

“Kita jadikan bulan Ramadan ini bukan waktu untuk bermalas, lemah dan lembab seharusnya perlu dijadikan platform yang terbaik untuk ummah lebih maju ke hadapan.

“Peristiwa Perang Badar yang berlaku dalam bulan Ramadan, Allah telah tunjukkan kepada kita bahawa kelompok kecil mampu menewaskan kelompok besar dengan keyakinan, sikap dan sanubari kita yang benar.

“Walaupun kita berpuasa, tidak makan dan minum tetapi melalui kekuatan yang ada pada kita hasil izin Allah mampu membawa kejayaan kepada diri dan kehidupan kita,” katanya.

Amirudin (tengah) menyampaikan sumbangan kepada wakil masjid dan surau.

Amirudin (tengah) menyampaikan sumbangan kepada wakil masjid dan surau.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berharap Ramadan tahun ini mampu mendidik umat Islam ke arah kebaikan kepada diri dan masyarakat seluruhnya.

“Semoga sepanjang Ramadan ini benar-benar menjadi institusi yang akan mendidik jiwa, hati dan sanubari kita yang mampu diterjemahkan dalam perlakuan yang membawa kebaikan kepada manusia.

“Intipati Hadis Rasulullah S.A.W yang menyebutkan antara ciri-ciri manusia yang disukai dan dicintai oleh Allah adalah manusia-manusia yang mampu membawa kebaikan kepada orang lain dan bukan menghancurkannya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Ihya Ramadan DUN Sungai Tua oleh Perbadanan Menteri Besar (MBI) di Surau Al Jannah Taman Jasa Utama, di sini semalam.

Menteri Besar menyampaikan sumbangan kepada lima buah masjid yang masing-masing menerima RM20,000 sementara 26 surau pula menerima RM10,000 setiap satu.

Turut hadir, Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim, Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin dan Pemangku Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Dr Johari Ahmad.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata sumbangan tersebut merupakan salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI, sebuah anak syarikat milik Kerajaan Negeri.

“Hasil kejayaan yang diperolehi oleh anak syarikat ini akhirnya disumbangkan semula kepada komuniti dalam pelbagai bentuk bantuan dan program-program untuk rakyat,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda