Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Tinjauan Mengejut MDM dan Kesihatan ke Bazar Ramadan Machang

By 17 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Azmi Abd. Rahman (Machang)

MACHANG, 17 Mei (Malaysiaaktif) – Bazar Ramadan merupakan lokasi tumpuan bagi mendapatkan juadah berbuka puasa. Aspek kebersihan makanan dan persekitaran serta harga yang berpatutan amat diberikan perhatian serius oleh pihak kerajaan khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau majlis daerah dan Pejabat Kesihatan tempatan.

Bagi memastikan peraturan dan faktor kebersihan dipatuhi, Ketua Jajahan Machang, Ibrahim Bakri telah mengadakan lawatan mengejut dan memantau Bazar Ramadan Bandar Machang.

Pemantauan secara spontan petang tadi melibatkan Pejabat Kesihatan Daerah Machang dan Majlis Daerah Machang.

“Kami mengadakan pemantauan bagi memastikan setiap juadah atau makanan di bazar benar-benar bersih dan dijual dengan harga yang berpatutan” kata Ibrahim.

Lawatan ke gerai-gerai di sekitar bazar berlangsung lebih kurang satu jam bermula jam 3.30 petang hingga 4.30 petang.

“Setiap jabatan dan agensi boleh melaksanakan tugasan mengikut prosedur kerja masing-masing,” jelas Ibrahim semasa sesi tinjauan petang tadi.

Ketua Jajahan Machang bersama Pegawai Kesihatan Machang memeriksa gerai di Bazar Ramadhan Bandar Machang

Ketua Jajahan Machang bersama Pegawai Kesihatan Machang memeriksa gerai di Bazar Ramadhan Bandar Machang

Menurut Pegawai Kesihatan Daerah Machang, Dr. Nazura Mohd Hussain, 43, gerak kerja secara bersepadu ini mampu membawa impak yang baik dalam meningkatkan keberkesanan pemantauan.

“Bagi kami di Pejabat Kesihatan pemantauan lebih tertumpu kepada aspek kebersihan dalam penyediaan makanan untuk dijual kepada orang ramai,” tambahnya.

Salah seorang pengunjung bazar, Helmi Mat Jali, 30 berkata “aktiviti pemantauan oleh pihak berkuasa secara mengejut seperti ini pasti akan menemukan hasil di luar jangkaan. Contohnya harga barang terlalu mahal atau makanan sudah basi”.

Helmi juga berharap tinjauan mengejut seperti ini turut dibuat oleh pasukan pemantau harga KPDNHEP tempatan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan dengan mengaut untung berganda.

– NAZ

Tinggalkan komen anda