Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurMATerengganu

Jambatan Angkat Pertama Asia Tenggara Kini Dibuka

By 3 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Shuhaimi Ahmad (Kuala Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 3 Jun (Malaysiaaktif) – Ikon kebanggaan rakyat Terengganu, jambatan angkat (drawbridge) yang pertama di Asia Tenggara kini dibuka kepada pengguna jalan raya mulai 7.00 pagi semalam.

Jambatan berharga RM284 juta yang terletak di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) muara Sungai Terengganu dibuka kepada lalulintas sebagai percubaan selama 16 hari bermula hari semalam dan akan ditutup sementara mulai 17 Jun depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk A. Rahman Yahya berkata, jambatan yang menghubungkan bandaraya Kuala Terengganu dengan daerah Kuala Nerus (Utara) dijangka dapat menyuraikan kesesakan trafik yang sering berlaku terutama pada musim perayaan.

Kenderaan melalui jambatan angkat (drawbridge) yang menghubungkan bandaraya Kuala Terengganu dengan daerah Kuala Nerus (Utara).

Kenderaan melalui jambatan angkat (drawbridge) yang menghubungkan bandaraya Kuala Terengganu dengan daerah Kuala Nerus (Utara).

Katanya, dalam tempoh percubaan itu, kerajaan juga dapat mengenalpasti jika terdapat kelemahan yang boleh mengganggu aliran trafik.

Jambatan itu akan ditutup semula kepada laluan trafik pada 18 Jun depan bagi pentauliahan komponen lain dan tarikh pembukaan rasmi jambatan angkat itu akan dimaklumkan semula setelah kerja dan pentauliahan semua komponen projek selesai.

“Selain kemudahan kepada orang ramai, jambatan angkat akan menjadi ikonik negeri Terengganu mampu menarik kehadiran pelancong,” katanya.

Jambatan angkat sepanjang 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut dan terpanjang di dunia itu mempunyai empat menara dengan dua jambatan udara (airbridge) yang menempatkan galeri sejarah Terengganu, dewan seminar dan restoran.

Che Rani Ismail, 70

Che Rani Ismail, 70

Seorang pengguna, Che Rani Ismail, 70, dari Kampung Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu gembira dengan pembukaan jambatan itu.

Beliau yang juga pesara kerajaan berkata, jambatan itu sangat dinantikan oleh rakyat kerana pembinaannya mampu menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas di bandaraya Kuala Terengganu terutama pada musim sambutan Hari Raya.

Nurul Imani I'Ffah Mohd Yussoff, 16

Nurul Imani I’Ffah Mohd Yussoff, 16

Pelajar Sekolah Menengah Agama Khairiah, Kuala Terengganu, Nurul Imani I`Ffah Mohd Yussoff, 16, berkata jambatan itu mendekatkan jarak rumahnya yang terletak di Gong Badak, Kuala Nerus dengan sekolahnya.

“Sering terjadi kesesakan terutama pada waktu pagi dan dengan adanya jambatan itu, sudah pasti masalah itu tidak timbul lagi,” ujarnya.

Ab. Jalal Wahab, 69

Ab. Jalal Wahab, 69

Bagi pesara swasta, Ab. Jalal Wahab, 69, pula menganggap pembinaan jambatan angkat itu sebagai hadiah kepada rakyat dan sebagai rakyat biasa, kemudahan seperti itu sangat dinanti-nantikan.

Katanya, selain kemudahan untuk orang ramai, jambatan angkat itu turut menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama dan ini boleh menjana pendapatan rakyat negeri ini.

-EM

Tinggalkan komen anda