Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Belanja Raya Saat Akhir Lebih Murah

By 3 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: W Shahilawati W Baharuddin /Khairul Akmal Mohamad (Kota Bharu Kelantan)

KOTA BHARU, 3 Jun (MalaysiaAktif) – Hanya berbaki beberapa hari lagi umat Islam bakal menyambut 1 Syawal dan sudah pasti ramai yang mengambil kesempatan berbelanja pada hujung-hujung Ramadan sebagai persiapan akhir hari raya.

Tinjauan Malaysiaaktif di sekitar bandar Kota Bharu, mendapati beberapa kedai yang menjual jubah, kerongsang dan kuih raya menjadi tumpuan pengunjung tempatan dan dari luar Kelantan.

Bagi Nazrah Ismail, 53, beliau memang membeli biskut raya pada saat akhir kerana ingin mendapatkan harga yang lebih murah, apatah lagi kalau dibeli dalam kuantiti yang banyak.

“Membeli di saat-saat akhir memang menguntungkan, lebih murah kerana peniaga menawarkan harga runtuh dan lelong bagi menghabiskan stok jualan,” ujar Nazrah.

Nur Aszirah Asri sedang melayani pelanggan di kedainya yang menjual jubah dan kurta.

Nur Aszirah Asri sedang melayani pelanggan di kedainya yang menjual jubah dan kurta.

Menurut Nazrah, kualiti barangan yang dilelong itu juga memuaskan hati dan sangat berbaloi dengan harga yang ditawarkan, manakala harga yang ditawarkan pada awal dan akhir Ramadan juga sangat berbeza.

Bagi Norhayati Mat, 39, dan pasangan Kamaruzaman Isa mengambil kesempatan pada penghujung Ramadan dengan membeli kerongsang dan butang baju Melayu sebagai aksesori pakaian hari raya.

Nazrah Ismail bersama anak-anaknya dari kampung Jelawat, Bachok sanggup datang ke Kota Bharu semata-mata untuk membeli biskut raya di saat akhir menjelang Aidilfitri

Nazrah Ismail bersama anak-anaknya dari kampung Jelawat, Bachok sanggup datang ke Kota Bharu semata-mata untuk membeli biskut raya di saat akhir menjelang Aidilfitri

“Saya dan suami akan mengambil kesempatan membeli belah beberapa hari menjelang Aidilfitri kerana ingin merasai kemeriahan suasana persiapan raya,” jelasnya yang bekerja swasta di Kuala Lumpur dan pulang ke Kelantan untuk berhari raya.

Sementara itu peniaga jubah dan kurta, Nur Aszirah Asri, 23, berkata sambutan pengunjung yang datang pada saat akhir amat menggalakan berbanding awal Ramadan yang agak hambar kerana umat Islam menumpukan perhatian untuk beribadah, selain cuaca yang panas.

“Berniaga di bulan Ramadan sememangnya penat kerana terpaksa melayan pelbagai karenah pelanggan, walau bagaimanapun saya bersyukur hasil jualan meningkat di hujung Ramadan,” katanya.

Mengulas lanjut, Nur Aszirah berkata trend pemakaian jubah dan kurta menjadi pilihan masyarakat sempena Aidilfitri ini dan kebanyakan pelanggan adalah dari luar Kelantan yang mengambil kesempatan sempena cuti persekolahan.

Bagi jubah dan kurta, harga yang ditawarkan pada saat akhir menjelang Aidilfitri tidaklah ketara seperti mana kuih dan biskut, kerana stok pakaian tiada tarikh luput dan boleh dijual secara berterusan.

-NAZ

Tinggalkan komen anda