Skip to main content
Berita SelatanJohorMA

Kacau Dodol Mampu Menyemarakkan Semangat Perpaduan Di Bulan Ramadan

By 4 Jun 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Rabiaton Adawiah Ahmed Tajudin/Ihsan JKP Zon Kangkar Daya

JOHOR BAHRU, 3 Jun (Malaysiaaktif) – Bulan Ramadan hampir ke penghujungnya dan kemeriahan menyambut Aidilfitri semakin terasa tidak kira di mana sahaja, terutama di pusat-pusat membeli belah untuk pengunjung mendapatkan pelbagai kelengkapan persiapan hari raya dengan jualan-jualan murah pada saat akhir.

Bagi menambahkan kemeriahan ini, AEON Mall Bandar Dato’ Onn telah dipilih sebagai lokasi Program Kacau Dodol anjuran Ahli Majlis Kangkar Daya dengan AEON Mall yang berbesar hati menyediakan tempat bagi mengacau dodol di perkarangan luar kompleks membeli belah.

Program dilaksanakan seawal 9.00 pagi bermula dengan persiapan kawah, penyediaan bahan dan seterusnya telah berlangsung acara mengacau dodol secara serentak sebanyak 10 kawah yang melibatkan gerak kerja 10 pasukan agensi.

Manakala daripada NGO seramai 130 orang peserta melibatkan IPD Johor Bahru Selatan, Balai Polis Dato’ Onn, Balai Polis Setia Indah, AEON Mall Bandar Dato’ Onn, Komuniti Taman Sinaran Kempas, RELA Mukim Tebrau, SWM Enviroment dan SW Corp, JKP Zon Kangkar Daya, MPKK Kangkar Tebrau serta 69 Bikers Johor Bahru.

Hubungan mesra masyarakat setempat dapat dirasai melalui program ini

Hubungan mesra masyarakat setempat dapat dirasai melalui program ini

Hadir beramah mesra dan turun bersama-sama mengacau dodol ialah ADUN Puteri Wangsa Mazlan Bujang, Datuk Bandar Datuk Amran A. Rahman dan Ahli Majlis Zon Kangkar Daya   Saifulanuar Yahya.

Saifulanuar menyatakan kesyukuran kerana program ini mendapat sambutan daripada segenap masyarakat di sini.

“Apa yang membanggakan saya, penyertaan kacau dodol ini turut disertai oleh kaum India dan Cina. Saya lihat muhibbah antara kaum terbentuk dengan penuh ikhlas.

“Saya akan sentiasa menyokong apa jua aktiviti kemasyarakatan yang mampu membentuk perpaduan di sini,” ujarnya ketika ditemubual semasa menyerahkan dodol kepada orang ramai.

Sebagaimana yang diketahui, proses penyediaan dodol mengambil masa yang panjang serta memerlukan kesabaran dan kerjasama silih ganti untuk mengacaunya.

Penyediaan dodol mengambil masa yang panjang dan memerlukan kesabaran

Penyediaan dodol mengambil masa yang panjang dan memerlukan kesabaran

Program ini secara tidak langsung mewujudkan suasana hubungan mesra antara satu sama lain, terutama penyertaan kaum Cina dan India yang dapat mengeratkan perpaduan.

Seorang kakitangan SWM Enviroment yang menyertai program ini, Muhammad Azfar Hassan, 35, amat teruja dengan program ini dan telah bersedia sejak awal pagi lagi untuk memerah tenaga bagi mengacau dodol.

“Seronok saya melihat kawan-kawan yang berbangsa asing turut bertungkus-lumus mengacau dodol. Barulah mereka tahu betapa payahnya menyediakan kuih tradisi ini,” ujarnya.

Agihan dodol oleh Steven Choong (3 dari kanan),  Nasrullah Abd Mutalib (baju putih) dan Saifulanuar (baju hijau) kepada pengunjung AEON Mall Bandar Dato' Onn

Agihan dodol oleh Steven Choong (tiga dari kanan), Nasrullah Abd Mutalib (baju putih) dan Saifulanuar (baju hijau) kepada pengunjung AEON Mall Bandar Dato’ Onn

Makanan tradisional ini bukan sahaja diminati oleh orang Melayu, malah turut dikongsi oleh masyarakat Cina, India dan lain-lain dan ini secara tidak langsung kita dapat berkongsi adat serta budaya masing-masing.

Sebanyak 1,500 bungkus dodol telah diagihkan di pentas utama kepada pengunjung-pengunjung AEON Mall Bandar Dato’ Onn sebelum waktu berbuka puasa.

Rata-rata pengunjung yang ditemui berasa gembira kerana dapat menikmati dodol baru dan panas, makan tradisional yang jarang didapati terutama di bandar.

Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong telah hadir merasmikan program yang bertempat di Pentas Utama AEON Mall Bandar Dato’ Onn.

Steven berharap program sebegini dapat diteruskan pada setiap tahun bagi menghubungkan dan merapatkan silaturrahim sesama komuniti dan mengucapkan terima kasih kepada penganjur Ahli Majlis Zon Kangkar Daya dan penyumbang program memasak dodol AEON Mall Bandar Dato’ Onn, Restoran E&Y Sahul dan Majlis Tindakan Pengguna Negara.

-EM

Tinggalkan komen anda